Sabtu, 4 Ogos 2018 | 5:21pm
PRESIDEN TEKAM, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

TEKAM nafi punca lambakan pekerja asing di Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (TEKAM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menjadi punca kebanjiran pekerja asing yang dikatakan sudah mencecah 4 juta orang di negara ini.

Presidennya, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid, berkata TEKAM diberi tanggungjawab melakukan pengambilan, pengurusan dan penghantaran balik pekerja asing mengikut peraturan ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak dilantik pada 2005.

Bagaimanapun, beliau berkata, TEKAM sudah hampir lapan tahun tidak dibenarkan membuat pengambilan pekerja asing sejak 2010.

Berdasarkan statistik, katanya, TEKAM pernah membawa 300,000 pekerja asing, terutama dari Bangladesh, Nepal, Indonesia, Filipina dan Myammar, ke negara ini.

"Daripada jumlah itu, lebih 200,000 pekerja sudah dihantar pulang ke negara asal, manakala sebahagian lagi melarikan diri ketika Program 6P (Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran) dijalankan Jabatan Imigresen pada 2010.

"Setakat ini, yang berdaftar bawah kami dan masih bekerja di sini ialah kira-kira 5,000 orang sahaja," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Megat Fairouz Junaidi berkata, hanya ahli TEKAM mendapat hak eksklusif sebagai majikan untuk membekal dan menguruskan kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Namun, beliau berkata, berikutan masih ada yang tidak mengetahui fungsi sebenar persatuan itu, ramai salah faham, termasuk segelintir menuduh TEKAM sebagai punca masalah lambakan pekerja asing di negara ini.

Katanya, TEKAM kini bertanggungjawab memantau 149 ahlinya dan syarikat mereka.

"Bagaimanapun, kini kami tidak dibenarkan sama sekali menguruskan kemasukan pekerja asing ke negara ini.

"Oleh itu, saya berharap tiada lagi pihak salah faham terhadap syarikat dimiliki ahli TEKAM berikutan pelbagai tohmahan tidak berasas yang kami terima," katanya.

Berita Harian X