Sabtu, 4 Ogos 2018 | 10:12pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (kiri), Pemegang Amanah PINTAR, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (dua dari kiri), Datuk Seri Siti Nurhaliza (dua dari kanan) dan tetamu, hadir pada tayangan amal filem 'Pulang' anjuran PINTAR Foundation di Starling Mall. - Foto Mahzir Mat Isa

Pulang bantu Yayasan PINTAR

KUALA LUMPUR: Lebih RM60,000 kutipan berjaya dipungut menerusi tayangan filem amal 'Pulang' anjuran Yayasan PINTAR, bertujuan membiayai program intervensi pendidikan pelajar kurang bernasib baik.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan PINTAR, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, berkata yayasan itu sentiasa berusaha untuk menjana pendapatan supaya misi dan matlamat membantu pelajar kurang bernasib baik di seluruh negara dapat direalisasikan.

Katanya, ia juga untuk memastikan tiada kanak-kanak kurang bernasib baik ketinggalan dalam pendidikan ketika negara maju ke arah kemakmuran dan pembangunan sosio-ekonomi.

"Sejak ditubuhkan, Yayasan PINTAR dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan menerajui Program PINTAR iaitu bagi memperkasa pendidikan pelajar sekolah berkeperluan tinggi, yang mana kebanyakan berasal dari keluarga berpendapatan rendah di kawasan luar bandar dan bandar.

"Menerusi program itu, pelajar diberi peluang dan akses kepada pendidikan holistik melalui pembelajaran kurikulum serta luar bilik darjah supaya mereka dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan bagi menghadapi cabaran abad ke 21," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan amal filem Pulang, di MBO Cinemas, Starling Mall, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan PINTAR, Karimah Tan Abdullah; CEO Primework Studios, Datuk Ahmad Izham Omar bersama bapanya, Omar Othman; Ketua Pegawai Komersial (CCO) NSTP, Alfian Talib.

Turut hadir, Ahli Pemegang Amanah Yayasan PINTAR, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Selain itu, 25 kanak-kanak dan tiga penjaga dari Rumah Kebajikan Kanak-kanak Lighthouse Children Welfare Home, Bangsar, turut diberi peluang menonton tayangan filem itu.

Wan Mohd Zahid berkata, pihaknya turut berharap syarikat serta individu lain dapat membantu sekolah kurang bernasib baik di bawah Program Nasional PINTAR dengan menyalurkan sumbangan melalui platform dalam talian iaitu www.mypintar.com.my.

"Kini, terdapat 52 ahli PINTAR yang sudah membantu 550 buah sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah keperluan khas . Lebih daripada 800,000 pelajar serta guru mendapat manfaatnya.

"Justeru, sokongan diberikan pada majlis tayangan amal ini amat bermakna kepada anak-anak daripada keluarga miskin dan masyarakat kurang bernasib baik kerana ia mampu mengubah kehidupan mereka," katanya.

Pulang adalah idea asal Ahmad Izham berdasarkan kisah benar yang diilhamkan mengenai kisah kehidupan datuknya dan pelaut Melayu pada tahun 1940-an.

Filem romantis itu menggambarkan kehidupan Othman dan Che Tom, pasangan suami isteri yang diterajui oleh pelakon Remy Ishak dan Puteri Aishah.

Othman belayar ke seluruh dunia demi masa depan yang lebih baik untuk anaknya Omar, walaupun Che Tom enggan melepaskannya.

Berita Harian X