Sabtu, 4 Ogos 2018 | 11:31pm
TUN Dr Mahathir Mohamad melambai kepada orang ramai semasa menghadiri majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama. - Foto Danial Saad

Hari Kebangsaan tahun ini rai kemenangan rakyat - Dr Mahathir

GEORGETOWN: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna kerana rakyat bukan saja meraikan pembebasan daripada penjajah, malah pembebasan daripada kerajaan kleptokrasi.

Perdana Menteri berkata, sambutan kemerdekaan pada kali ini adalah untuk meraikan kemenangan rakyat yang berkorban dan berani menyelamatkan negara daripada sebuah kerajaan kleptokrasi.

"Sesungguhnya rakyatlah yang membebaskan diri mereka dengan berani keluar berduyun-duyun mengundi, menolak kerajaan kleptokrasi. Walaupun terdapat banyak halangan dan ugutan tetapi rakyat tidak gentar.

"Akhirnya ialah kejayaan luar dari dugaan. Tak banyak negara dapat tukar pemerintahan tanpa rusuhan dan kematian pejuang kerana pengorbanan rakyat begitu besar, (maka) pemerintahan dulu terpaksa akur dan menyerah kuasa.

"Inilah yang kita rayakan hari ini, kemenangan rakyat," kata Dr Mahathir berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama, di sini malam ini.


TUN Dr Mahathir Mohamad (tiga dari kiri) dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (dua dari kiri) melepaskan konvoi kembara Merdeka Jalur Gemilang semasa menghadiri majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama. - Foto Danial Saad

Turut hadir, isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan menteri-menteri kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

Dr Mahathir berkata rakyat berhak berasa gembira dan menyatakan kegembiraan mereka dengan mengibar Jalur Gemilang di seluruh pelusuk negara untuk membuktikan kepada negara luar bahawa Malaysia selamat dan diselamatkan oleh rakyat.

Beliau berkata, walaupun negara dibebani dengan pelbagai masalah kerana salah guna kuasa oleh pemerintah terdahulu yang menyebabkan hutang bertimbun, jentera kerajaan rosak, kemiskinan melanda rakyat, perniagaan dan dagangan merosot, namun berkat sokongan rakyat kerajaan dapat berusaha mengatasi masalah itu dalam keadaan stabil.

"Kami tidak berminat untuk balas dendam. Tetapi tidak dapat tidak tindakan terpaksa diambil terhadap mereka yang membawa bencana kepada negara tercinta ini. Kami akan pegang kuat kepada 'rule of law', kepada pemerintahan mengikut undang-undang, walaupun proses ini mengambil masa.

"Benar lebih mudah dan lebih cepat jika undang-undang diketepikan atau disalah guna, tetapi kami tidak hendak berlaku zalim kepada sesiapa. Kami utamakan keadilan. Inilah janji kami. Akan kami pegang kepada janji walaupun melambatkan proses menghukum mereka yang kita tahu bersalah," katanya.

Katanya kerajaan Pakatan Harapan pilihan rakyat berjanji berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan Malaysia sehingga menjadi 'Asian Tiger' (Harimau Asia) semula. - BERNAMA

Berita Harian X