Ahad, 5 Ogos 2018 | 1:56pm
MUSTAFA Kamal menyarungkan vest pada seorang Sahabat Maktab 74.
AZWAN Aziz.

30 jemaah haji dilantik Sahabat Maktab 74

MAKKAH: Majlis Pelancaran dan Pelantikan Sahabat Maktab di Maktab 74, semalam, berlangsung ringkas tetapi hakikatnya, ia satu sesi pentauliahan penuh bermakna kepada 30 individu berjiwa besar.

Biarpun hanya diberi sehelai vest dan topi berwarna kelabu, tanggungjawab dipikul amat berat kerana sejurus menyarung seragam itu, secara rasminya mereka bukan lagi jemaah biasa tetapi ibarat sebahagian petugas Tabung Haji (TH).

Azwan Aziz, 30, dari Johor Bahru, menyedari hakikat itu, namun sudah bersedia memikul tanggungjawab berkenaan kerana pembabitan dalam aktiviti amal dan kerja kebajikan sudah sebati dengan dirinya.

"Saya memohon untuk menjadi Sahabat Maktab sejak di tanah air lagi, iaitu ketika menyertai Kursus Haji Perdana peringkat Johor. Ingatkan tidak dapat, rupa-rupanya di sini baru mereka membuat pelantikan.

"Saya tahu tugas kami bukan mudah tetapi insya-Allah, saya akan memberi yang terbaik berbekalkan pengalaman dalam aktiviti sukarela dan kebajikan sebelum ini," katanya.

Isteri Azwan, Sarina Md Abdul Rahman, 38, turut terpilih menjadi Sahabat Maktab 74 pada majlis yang berlangsung di maktab itu di Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini.

SERAMAI 30 jemaah haji yang dilantik Sahabat Maktab 74 bergambar selepas majlis pelantikan.

"Saya dan suami memang sering bersama-sama terbabit dalam aktiviti sukarela seperti membantu gelandangan, anak yatim dan pelajar tahfiz. Pengalaman itu, insya-Allah akan membantu kami menjalankan tugas Sahabat Maktab," katanya.

Sahabat Maktab adalah jemaah haji yang secara sukarela memohon untuk membantu petugas TH menguruskan pergerakan jemaah, terutama ketika operasi Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Ia program tradisi pada setiap musim haji sejak diperkenalkan pada 2006.

Tahun ini, lebih 300 jemaah dipilih menjadi Sahabat Maktab di 12 maktab penginapan di sini.

Pengurus Maktab 74, Mustafa Kamal Abdul Latif, berkata Sahabat Maktab terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Sahabat Medik, Sahabat Ibadat dan Sahabat Am.

Katanya, pemilihan Sahabat Maktab mengikut tiga kategori itu dibuat berdasarkan latar belakang mereka.

"Jika seorang jemaah itu doktor atau jururawat, kita melantiknya menjadi Sahabat Medik. Jika beliau adalah ustaz atau guru agama, kita melantiknya menjadi Sahabat Ibadat, manakala Sahabat Am pula dipilih dalam kalangan jemaah yang ada latar belakang sebagai sukarelawan.

"Apapun, kriteria paling penting ialah semangat kesukarelawanan yang tinggi dan sihat tubuh badan kerana ini kerja sukarela serta tanpa bayaran, sebaliknya semata-mata ikhlas kerana Allah," katanya.

Beliau berkata, peranan Sahabat Maktab paling penting ialah membantu urusan penyelarasan keberangkatan dan ketibaan ketika operasi Masyair, iaitu wukuf di Arafah, serta bermalam di Muzdalifah dan Mina.

Berita Harian X