Ahad, 5 Ogos 2018 | 2:32pm

Tarif air Selangor kekal ketika ini - MB

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif air ketika ini susulan pembelian Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bernilai RM2.5 bilion yang dimuktamadkan Jumaat lalu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, bagaimanapun berkata, perkara itu akan berubah mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Katanya, sebelum membuat sebarang pengumuman berkenaan kenaikan tarif, pihaknya akan meneliti semua perkara dan aspek yang terbabit dalam hal itu.

"Kita akan kekalkan pemberian air percuma dan tidak akan menaikkan tarif air ketika ini.

"Tetapi, kita akan bertindak (menaikkan tarif) mengikut kemampuan kerajaan negeri terutama membabitkan kos yang semakin meningkat," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Negeri Selangor 2018, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Amirudin turut membidas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa pengambilalihan syarikat konsesi air itu akan membebankan rakyat selain pemberian air percuma sejak 2008 akan dibatalkan.

Katanya, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM180 juta setahun ketika bagi program air percuma berbanding RM70 juta ketika awal pelaksanaannya.

"Kerajaan negeri tetap meneruskan program air percuma ini walaupun kos sudah meningkat malah mampu melaksanakan program lain seperti Peduli Rakyat dan KISS (Kasih Ibu Smart Selangor)," katanya.

Ditanya berkenaan dakwaan blogger, Raja Petra Kamaruddin bahawa PKR mendapat RM500 juta terhadap penjualan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu menganggap ia sebagai tuduhan palsu dan tidak mempunyai bukti.

"Saya pasti di peringkat saya (kerajaan negeri), kita buat dengan cukup. Perkara ini sudah bincangkan setahun lebih awal sebelum saya dilantik Menteri Besar," katanya.

MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari (dua kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kanan) pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lembu Korban Negeri Selangor 2018 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X