Isnin, 6 Ogos 2018 | 1:44pm
HOSPITAL Alor Gajah. - Foto Khairunisah Lokman

Dewan bedah HAG tidak berfungsi 5 tahun

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 mendedahkan bahawa dewan bedah di Hospital Alor Gajah (HAG), Melaka, tidak dapat berfungsi sehingga menyebabkan tiada perkhidmatan pembedahan boleh dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Menurut laporan audit itu, ia berpunca daripada bacaan tahap kebisingan yang tidak menepati piawaian dan kerosakan berulang terhadap sistem pendingin hawa serta sistem penyeliaan bangunan.

Mengikut rekod, HAG siap pada 14 Jun 2012, namun perkhidmatan dewan bedahnya tidak boleh digunakan sejak hospital itu beroperasi pada 18 Februari 2013 hingga 18 September 2017.

Walaupun projek HAG mematuhi peraturan ditetapkan dari aspek perolehan dan pengendalian dokumen, kontrak, bon pelaksanaan serta penyerahan insurans, menurut laporan itu, ada kelemahan dari segi pascakontrak yang menjejaskan kecekapan pengurusan projek.

Berdasarkan audit dijalankan, sembilan masalah perlu diambil perhatian oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu:

i. Penyata akaun akhir dan perakuan muktamad masih belum disediakan.

ii. Perakuan siap memperbaiki kecacatan tidak dapat dikeluarkan berikutan ada kerja pembaikan kecacatan belum selesai.

iii. Jumlah kecacatan dilaporkan dan masih belum dibaiki ialah 1,936, terdiri daripada 242 kecacatan major dan 1,694 kecacatan minor.

iv. Perakuan siap dan pematuhan dikeluarkan sebelum surat pelepasan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia diperoleh.

v. Set pam duty dan pam standby tidak dilengkapi kuasa pendua.

vi. Lokasi 'inspection chamber' kumbahan di laluan klinikal dewan bersalin didapati tidak sesuai.

vii. Sebanyak 25 (52.1 peratus) daripada 48 As-Built Drawings dan 25 (62.5 peratus) daripada 40 manual operasi tidak diserahkan.

viii. 'Planned preventive maintenance' tidak dilaksanakan secara menyeluruh di mana empat komponen sistem tidak disenggara, manakala sembilan komponen sistem disenggara antara 16.7 hingga 91.7 peratus.

ix. Sebanyak 29 peralatan perubatan bernilai RM1.58 juta di dewan bedah dan Unit Rehabilitasi tidak digunakan.

Menurut laporan itu, bagi mengatasi kelemahan dibangkit dan memastikan perkara sama tidak berulang dalam projek pembinaan lain, pihak audit mengesyorkan JKR dengan kerjasama KKM mengambil tindakan.

"Pertama, menyenaraihitamkan kontraktor dan pemilik syarikat dilantik melaksanakan projek, serta mengemukakan laporan kepada badan profesional perunding mengenai kegagalan kontraktor dan perunding memastikan projek disiapkan dengan sempurna serta mematuhi peraturan ditetapkan.

"Kedua, menilai semula bidang kuasa pengarah projek dalam pengurusan projek yang dilaksanakan secara reka dan bina, terutama apabila kontraktor didapati gagal memenuhi obligasi kontrak.

"Ketiga, memastikan pelantikan kontraktor pihak ketiga dibuat dengan segera dan menetapkan tempoh spesifik bagi kerja pembaikan kecacatan diselesaikan serta memantau kerja pembaikan yang dilaksanakan bagi membolehkan Perakuan Siap Membaiki Kecacatan (CMGD) dikeluarkan dan seterusnya Penyata Akaun Akhir serta Perakuan Muktamad dapat disediakan," menurut laporan itu.

Selain itu, JKR dan KKM perlu memastikan reka bentuk awal dibincang dan dipersetujui bersama oleh agensi pemilik, agensi pelaksana dan kontraktor, antaranya penentuan spesifikasi yang praktikal bagi bacaan tahap kebisingan di dewan bedah.

"Disyaratkan juga 'inspection chamber' tidak dibina di dalam bangunan supaya tidak mengganggu operasi hospital.

"Pastikan juga semua peralatan perubatan yang dibekal digunakan dengan memberi perhatian kepada pengujian dan pentauliahan peralatan perubatan.

"Pada masa sama, tubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat punca kerja pembaikan kecacatan lewat diselesaikan dan isu peralatan perubatan yang tidak dapat dimanfaatkan sehingga menyebabkan Perakuan Muktamad projek tidak dapat dikeluarkan. Sekiranya berlaku kecuaian, tindakan hendaklah diambil terhadap pegawai terbabit," menurut laporan itu.

Berita Harian X