Isnin, 6 Ogos 2018 | 4:37pm

Geran DIKN gagal pacu industri kreatif

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ditegur kerana gagal melaksanakan mekanisme penilaian kesan terhadap geran Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) berjumlah RM120 juta sehingga inisiatif itu berdepan kesukaran untuk memacu pertumbuhan industri kreatif negara.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1, mendapati projek yang mengguna pakai dana yang disalurkan dari DIKN susah untuk dinilai keberkesanannya.

Menurut laporan, semua itu berpunca daripada masalah tadbir urus KKMM.

Kata laporan itu, penilaian perlu dibuat khususnya terhadap geran berkenaan dalam usaha membolehkan sumbangan terhadap hasil eksport kandungan kreatif dinilai kerajaan.

"Kecekapan pengurusan kewangan dan 'output' projek boleh ditambah baik dengan memastikan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kerja atau Teknikal meningkatkan kawalan pengagihan dan penggunaan geran serta pemantauan kemajuan setiap projek supaya matlamat DIKN dicapai.

"Kecekapan pengurusan projek di bawah geran DIKN boleh ditambah baik khususnya berkaitan pembayaran dan pengurusan perolehan dengan memberi tumpuan kepada pematuhan peraturan kewangan.

"Ini bertujuan untuk memastikan bayaran yang dibuat adalah teratur," menurut laporan itu.

Laporan itu juga turut mendedahkan penemuan audit utama yang perlu diberi perhatian oleh KKMM dan agensi pelaksana, membabitkan beberapa agensi berkaitan kementerian.

Agensi itu ialah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (KRAFTANGAN) serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

"Penemuan pertama mendapati, dua projek FINAS bernilai RM2.4 juta yang dilaksanakan sejak 2012 dan 2013 tidak dapat disiapkan sehingga tarikh pengauditan. Kedua, tiga projek di bawah JKKN bernilai RM3.61 juta tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Ketiga, baki geran berjumlah RM7.59 juta di empat agensi iaitu FINAS, LPSVN, KRAFTANGAN dan ASWARA masih belum dibelanjakan. Keempat, tiga bayaran terakhir berjumlah RM300,000 bagi dua projek bernilai RM1.98 juta yang dilaksanakan oleh JKKN tidak dibuat pemotongan denda walaupun kedua-dua projek ini tidak mencapai sasaran yang ditetapkan serta menyebabkan kerajaan berpotensi mengalami kerugian berjumlah RM400,000.

"Kelima, tujuh projek Teknikal Seni Budaya bernilai RM250,000 (13.2 peratus) yang diuruskan oleh KRAFTANGAN diperoleh secara pembelian terus walaupun ia sepatutnya dilaksanakan melalui tiga sebut harga kerana mempunyai skop kerja yag sama dan nilai perolehan melebihi RM50,000," menurut laporan itu.

Jabatan Audit Negara (JAN) berpendapat jawatankuasa kerja atau teknikal yang memantau pelaksanaan projek yang menerima geran boleh meningkatkan usaha dalam mengawal pengagihan serta penggunaan supaya matlamat DIKN tercapai.

Disamping itu juga, JAN mengesyorkan supaya Jawatankuasa Teknikal Multimedia boleh meningkatkan keberkesanan peranan jawatankuasa dengan memberi khidmat nasihat yang berterusan selain mengadakan pemantauan rapi terhadap penerima geran untuk pastikan projek siap dalam tempoh ditetapkan.

Berita Harian X