Isnin, 6 Ogos 2018 | 5:22pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Zunnur Al Shafiq

NIOSH tidak bergantung dengan kerajaan

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara (JAN) memuji tadbir urus Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berikutan kemampuan syarikat itu menjana pendapatan daripada aktiviti operasi tanpa bergantung kepada geran kerajaan.

NIOSH adalah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) bawah Kementerian Sumber Manusia.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, kedudukan kewangan NIOSH adalah kukuh yang menyaksikan syarikat itu mencatatkan lebihan dana sebelum cukai bagi tiga tahun berturut-turut.

Ia masing-masing berjumlah RM7.42 juta pada 2014, RM9.62 juta (2015) dan RM9.07 juta (2016).

"Tahap kecairan aset semua berbanding liabiliti pada kadar nisbah 8:1 menyaksikan syarikat berupaya memenuhi obligasi jangka pendek menggunakan sumber dalaman.

"NIOSH mempunyai baki tunai dan kesetaraan tunai yang tinggi berjumlah RM147.63 juta pada 2016.

"Tambahan pula, pengurusan geran pembangunan dalam aspek penggunaan geran dan pelaksanaan projek adalah cekap menyaksikan 95 peratus daripada peruntukan dibelanjakan mengikut tujuan yang diluluskan," menurut laporan itu.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, terdapat kelemahan dalam aspek pemantauan yang menjejaskan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

Secara keseluruhannya, JAN mendapati amalan tadbir urus NIOSH adalah memuaskan. Namun masih terdapat keperluan untuk penambahbaikan dalam aspek kebebasan keanggotaan dan kehadiran Lembaga Pengarah dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah serta pelaksanaan fungsi audit dalaman.

Justeru, JAN mengesyorkan supaya dilaksanakan pemantauan yang lebih berkesan dan mewujudkan jawatankuasa berasingan dengan kekerapan mesyuarat setiap bulan bagi perancangan pembangunan modul baharu serta semakan modul sedia ada.

Berita Harian X