Isnin, 6 Ogos 2018 | 6:04pm
TINJAUAN bauksit mendapati tidak ada sebarang aktiviti memunggah bauksit sejak kenyataan Tarik Balik pada 21 Disember di ladang kelapa sawit sekitar Felda Bukit Goh. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
TINJAUAN bauksit mendapati tidak ada sebarang aktiviti memunggah bauksit sejak kenyataan Tarik Balik pada 21 Disember di ladang kelapa sawit sekitar Felda Bukit Goh. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Pertemuan membincangkan isu bauksit hujung bulan ini

KUANTAN: Satu pertemuan antara Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, kerajaan negeri dan pemain industri bauksit dijangka diadakan hujung bulan ini.

Menurut sumber kementerian itu, pertemuan itu akan disertai Menterinya, Dr Xavier Jayakumar, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan wakil persatuan pelombong bauksit serta pihak berkaitan lain.

Jayakumar sebelum ini dilaporkan berkata, tempoh moratorium disambung hingga hujung tahun ini, dan sebarang perkembangan berhubung aktiviti perlombongan bauksit boleh diselesaikan jika kerajaan negeri dan pemain industri dapat mengikut semua peraturan ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) FELDA Bukit Goh, Mat Zahari Derahman, berkata, perkembangan itu dilihat sebagai antara langkah positif bagi menyelesaikan masalah dihadapi peneroka FELDA yang sebelum ini memperoleh pendapatan melalui pajakan tanah kepada pengusaha lombong.

“Sejak moratorium diperkenalkan kerajaan pada tahun 2016, ramai (peneroka) yang mengeluh kerana hilang punca pendapatan. Tanah itu sudah ditinggalkan pengusaha lombong dan terbiar. Jadi, ramai yang tidak ada sumber pendapatan.

“Perkembangan ini sangat baik dan kalau boleh carilah jalan penyelesaian segera bagi membantu peneroka. Kalau boleh, wakil kementerian berkaitan juga hadir ke sini dan lihat sendiri apa yang berlaku di bekas tapak lombong,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Badan Bertindak Bauksit Bukit Goh, Datuk Dr Abdul Wahid Manap, berkata, keputusan kini berada di tangan kerajaan negeri kerana melantik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sebagai pemegang konsesi tunggal perlombongan bauksit.

“Sebelum membuat sebarang keputusan, saya minta Menteri bertanggungjawab bersama pegawai mereka melakukan lawatan terlebih dahulu ke sini.

“Kita cuma ada dua pilihan sahaja, teruskan aktiviti melombong bauksit atau hentikan terus sampai bila-bila.

“Kalau kerajaan buat keputusan untuk teruskan, kita perlu sediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dan perlu dipatuhi semua pihak.

“Selain itu, kita kena tengok balik kaedah mengangkut bahan galian berkenaan ke Pelabuhan Kuantan, ini adalah perkara paling utama kerana proses memindahkan bauksit dari lombong ke pelabuhan adalah punca pencemaran habuk dan udara, seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Berita Harian X