Selasa, 7 Ogos 2018 | 2:31pm
AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

'Saya kasar sebab diganggu'

KUALA LUMPUR: Penyokong kerajaan akan merayu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya memastikan setiap janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ditunaikan.

RSN Rayer (PH-DAP Jelutong), berkata PH bertanggungjawab menunaikan segala janji dalam manifesto dalam tempoh ditetapkan bagi mengelak rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

“Sebagai penyokong kerajaan, saya mahu memastikan setiap janji dalam manifesto PH ditunaikan kerana rakyat memerhati dan menilai kita.

“Saya bukan nak menegur Perdana Menteri kerana menjadi hak Dr Mahathir untuk menilai manifesto tetapi kalau tidak menunaikan janji manifesto, kita akan dilihat sama seperti Barisan Nasional (BN).

“Hal ini akan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat bagi memastikan kerajaan menunaikan manifesto dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan manifesto PH bukan ‘kitab suci’ yang wajib dipatuhi, sebaliknya garis panduan yang boleh diikuti atau tidak, bergantung kepada keperluan.

Antara janji dalam manifesto ‘dilanggar’ PH ialah soal pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang sepatutnya dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen.

Mengenai tanggapan dirinya seperti ‘budak nakal’ di Dewan Rakyat, Rayer mengakui tidak kisah digelar sedemikian ketika mencelah, bertanya soalan dan berucap.

Rayer mengakui ada kalanya menggunakan bahasa kasar tetapi mendakwa ia berpunca daripada gangguan Ahli Parlimen pembangkang ketika mencelah atau berhujah.

“Selepas ditegur Yang Dipertua Dewan Rakyat, saya bangun dan bercakap dengan tertib tetapi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sering mengganggu.

“Isu yang saya bangkitkan membabitkan kepentingan rakyat dan saya akan terus bersuara walaupun diganggu,” katanya.

Berita Harian X