Khamis, 9 Ogos 2018 | 10:07pm
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar. - Foto Luqman Hakim Zubir

Ambil alih SPLASH selepas kajian terperinci - Menteri

KUALA LUMPUR: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar berkata pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dilaksanakan selepas kajian yang terperinci.

Beliau berkata kajian mengenai penstrukturan air bersih telah dilaksanakan secara terperinci menerusi RHB Investment Bank Berhad dan firma audit antarabangsa Deloitte.

“Tak ada (bayar 10 kali ganda). Kajian nilai telah kita laksanakan menerusi dua institusi ini. Apa yang kita beli itu di bawah harga pasaran, kalau harga pasaran itu hampir RM3.4 billion,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengatakan pengambilalihan SPLASH membuatkan rakyat Selangor perlu membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri pada 2013.

Abdul Khalid turut menjangkakan keadaan itu memungkinkan kerajaan negeri mengkaji atau menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di Selangor yang dilaksanakan sejak 2008.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata proses pengambilalihan SPLASH yang sudah lama tertangguh akhirnya selesai selepas syarikat konsesi itu secara prinsipal bersetuju menerima nilai tawaran pengambilalihan syarikat itu oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjumlah RM2.55 bilion. – BERNAMA

Berita Harian X