Sabtu, 11 Ogos 2018 | 3:04pm
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye (dua kiri) menunjukkan rotan sebat Jabatan Penjara kepada kanak-kanak ketika melawat pameran selepas majlis Perasmian Program TownHall Engagement Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Peringkat negeri Kedah di Dewan Serbaguna, Guar Chempedak. - Foto Sharul Hafiz Zam

KDN perlu kaji semula penyalahgunaan ketum

YAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) disaran mengkaji semula isu berkaitan penyalahgunaan ketum yang semakin serius di negara ini dalam usaha menanganinya secara lebih berkesan.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihaknya memandang serius isu daun ketum ini yang boleh merosakkan masyarakat dan mencadangkan KDN di bawah pentadbiran kerajaan baharu mengkajinya secara mendalam.

Katanya, KDN perlu mencari suatu formula dalam menangani masalah penyalahgunaan ketum.

“KDN boleh meneliti sama ada perlu kepada pindaan undang-undang dengan meletakkan daun ketum mengikut Akta Dadah Berbahaya berbanding sekarang mengikut Akta Racun.

“Ini satu cadangan yang boleh dipertimbangkan KDN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Townhall Engagement MCFP Toleransi Sifar Terhadap Dadah Peringkat Negeri Kedah di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye (kanan) bersalaman bersama dengan anggota polis yang hadir pada majlis Perasmian Program TownHall Engagement Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Peringkat negeri Kedah di Dewan Serbaguna, Guar Chempedak. - Foto Sharul Hafiz Zam

Mengulas mengenai program itu, Lam Thye berkata, MCPF akan memperhebatkan program ini ke negeri lain dengan memfokuskan kepada golongan sasar terdiri daripada pelajar sekolah dan orang muda sebagai langkah pencegahan.

“Tumpuan harus diberikan kerana hampir 50 peratus pesalah ditangkap polis adalah berkaitan kes dadah, malah di dalam penjara juga lebih 56 peratus jumlah banduan berkaitan dadah.

“Atas dua faktor inilah, kadar jenayah secara automatik akan turun jika kita dapat menangani masalah dadah,” katanya.

Beliau berkata, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merekodkan seramai 126,098 terbabit dalam penagihan dadah antara 2013 hingga 2017.

“Program ini memberi tumpuan kepada generasi muda kerana sekarang, sudah ramai pelajar terjebak dalam penagihan dadah,” katanya.

Berita Harian X