Sabtu, 11 Ogos 2018 | 3:30pm
GAMBAR fail, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu meluangkan masa menziarahi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hospital pada 29 Julai lalu. - Foto FB Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin mungkin perlu jalani kemoterapi

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin pulih kesihatannya tetapi mungkin perlu menjalani kemoterapi sebagai sebahagian daripada rawatan susulan untuk dirinya.

“Saya pergi bertemu beliau dan beliau dalam keadaan baik tapi perlu menjalani rawatan susulan.

“Beliau mungkin perlu jalani rawatan kemoterapi. Tempoh rawatan untuk jenis penyakit begini adalah panjang,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditanya mengenai kesihatan Muhyiddin.

Dr Mahathir bercakap pada sidang media selepas mesyuarat dengan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di ibu pejabat parti itu malam tadi.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Muhyiddin mengambil cuti sejak 12 Julai bagi menjalani pembedahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjalani pembedahan di Singapura baru-baru ini bagi membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Beliau dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada Selasa lalu.

Muhyiddin dijangka kembali bertugas pada bulan ini dan Dr Mahathir sedang memangku jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Berita Harian X