Sabtu, 11 Ogos 2018 | 5:05pm
TAN Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Effendy Rashid

Muhyiddin angkat sumpah Selasa ini

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh di Dewan Rakyat pada Selasa ini.

Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim berkata, tahap kesihatan Muhyiddin semakin baik ketika ini dan beliau dijangka kembali bertugas dan menghadiri beberapa mesyuarat bermula minggu depan.

"Atas nasihat doktor, beliau akan menjalani rawatan susulan termasuk kimoterapi untuk tempoh enam bulan sebagai langkah memastikan masalah ketumbuhannya tidak berulang.

"Pejabat Menteri Dalam Negeri ingin maklumkan, tugas rasmi Tan Sri Muhyiddin agak terhad sepanjang beliau menjalani rawatan susulan.

"Ini bagi memastikan beliau dapat menjalani rawatan dengan sempurna dan pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bercuti sejak 12 Julai lalu bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas.

Beliau menjalani pembedahan itu di Singapura baru-baru ini dan dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth, Selasa lalu.

Ketika ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memangku tugas Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Berita Harian X