Sabtu, 11 Ogos 2018 | 9:51pm
BEKAS Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Video kes cincin Rosmah timbul semula

KUALA LUMPUR: Maklumat berhubung kemasukan cincin berlian bernilai RM24 juta pada 2011 didedahkan sendiri pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang tidak berpuas hati, bertujuan menjejaskan reputasi Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut laporan sebuah portal berita tempatan, dakwaan itu dibuat bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed menerusi ucapannya pada tahun itu yang kini dimuat naik di laman Youtube.

Dalam ucapannya, Abu Kassim berkata, pegawai terbabit membocorkan dokumen ‘Borang Kastam 1’ yang menunjukkan barang yang masuk ke dalam negara tetapi tidak mendedahkan ‘Borang Kastam 2’ iaitu untuk barang yang keluar daripada negara.

“Dalam siasatan kita, kedua-dua borang itu ada, tetapi yang dihebahkan hanya Borang Kastam 1. Niatnya hanya untuk mengenakan balik Perdana Menteri (Najib) kerana membiarkan SPRM mengambil tindakan tegas terhadap kastam,” katanya.

Ketika itu SPRM sedang menyiasat 62 pegawai kastam berhubung kes pengubahan wang haram dalam Operasi 3B.

Dalam ucapan yang dipercayai disampaikan kepada pegawai SPRM, Abu Kassim berkata, pegawai kastam yang tidak berpuas hati itu, melalui kesatuan mereka bertemunya dan mendesak Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya memberi pengecualian atas tuduhan terhadap pegawai kastam yang disyaki terbabit.

Katanya, apabila usaha itu gagal, mereka didakwa cuba untuk bertemu Najib yang kemudian enggan bertemu mereka.

“Saya yang nasihatkan dia (Najib) jangan berjumpa kerana kita mahu pertahankan integriti dan tindakan kita dalam siasatan terhadap kastam (melalui ‘Operasi 3B’),” katanya.

“Keengganan Perdana Menteri ini membuatkan mereka marah, jadi mereka bertindak balas. Tiada siapa dalam negara ini akan tahu (cincin itu) jika pegawai kastam tidak mengambil dokumen berkenaan dan mengedarnya kepada pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, cincin semahal itu tidak akan dapat dibeli di kedai biasa.

“Apabila kita mahu beli cincin berharga RM24,000, kita ke Poh Kong atau Habib Jewels. Apabila anda beli cincin RM24 juta, kedai datang kepada anda,” katanya.

Jika dakwaan Abu Kassim itu benar, ia akan mengesahkan dakwaan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan syarikat barang kemas Amerika Syarikat, Jacob & Co bahawa cincin yang dibawa masuk pada 2011 itu hanya untuk tontonan.

Rosmah tidak pernah menafikan kewujudan cincin itu, tetapi berkata kritikan termasuk oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bersifat ‘separuh benar’.

Jacob & Co berkata, cincin berlian Natural Fancey Blue Grade Cushion dengan 30.11 karat itu untuk dilihat Maira Nazarbayev, ibu kepada Daniyar Nazarbayev yang ketika itu tunang kepada anak mereka, Nooryana Najwa yang berkahwin tiga tahun kemudian.

Sementara itu, portal berita itu turut melaporkan seorang bekas pegawai kerajaan yang ada ketika Abu Kassim menyampaikan ucapannya mengesahkan ketulenan video itu dan berkata ia dihadiri pegawai SPRM.

“Benar apa yang dikatakannya. Itulah yang ditemui IO (pegawai penyiasat),” kata sumber itu.

Katanya, ucapan itu dibuat lama sebelum siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula.

“Ketika itu, tiada kes rasuah membabitkan berlian dan ia sudah pun dipulangkan kepada kedai.

“Ketika dia (Abu Kassim) tahu tentang 1MDB selepas ditunjukkan bukti Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), dia mahu meneruskan kes itu.

Tetapi pada masa itu, keadaan tidak kondusif dan itu sebabnya dia minta bersara awal pada 2016,” kata sumber itu lagi.

Abu Kassim adalah sebahagian daripada jawatankuasa khas berhubung 1MDB yang diketuai Abdul Gani.

Ia kemudian dibubarkan kerajaan pada 2015. Susulan itu, Abu Kassim bersara daripada SPRM.

Selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN), kerajaan baharu melantiknya sebagai pengerusi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Berita Harian X