Isnin, 13 Ogos 2018 | 8:48pm
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika hadir pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

BTN memang suntik doktrin politik - KJ

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengakui program Biro Tata Negara (BTN) diperkenalkan kerajaan terdahulu berunsur menyuntik doktrin politik dalam modul kursusnya.

Ahli Parlimen Rembau itu turut memberi gambaran sama terhadap Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 1.0, namun tidak begitu ketara kecuali ada kelompongan yang perlu ditambah baik.

“Untuk PLKN 2.0 tidak (ada doktrin politik) sebab ia lebih kepada kenegaraan, kemahiran yang dicantumkan dengan objektif perpaduan tatanegara.

“PLKN 1.0 tak ada sangat (doktrin politik) tapi ada kelompongan dari segi tidak cukup kemahiran lebih kepada ketenteraan, disiplin dan sebagainya.

“BTN memanglah (ada doktrin politik). Faham-fahamlah,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Khairy mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhubung mengenai keputusan Kabinet memansuhkan PLKN dan BTN, berkuat kuasa serta-merta.

PLKN dan BTN katanya, akan diganti dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa depan berwawasan dan tinggi nilai jati diri.

Program baharu yang diuruskan KBS itu katanya akan membabitkan penstrukturan semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset.

Usaha itu turut mencerminkan aspirasi kerajaan untuk memastikan program dilakukan lebih inklusif, telus dan bebas daripada doktrin politik serta perkauman.

Berita Harian X