Selasa, 14 Ogos 2018 | 7:46pm
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan beramah mesra bersama Richard Malanjum (kiri) dan Tommy Thomas (kanan) selepas selesai perasmian majlis Persidangan Undang- Undang Antarabangsa Malaysia di Hotel Royal Chulan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan beramah mesra bersama Richard Malanjum (kiri) dan Tommy Thomas (kanan) selepas selesai perasmian majlis Persidangan Undang- Undang Antarabangsa Malaysia di Hotel Royal Chulan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Perubahan pentadbiran dorong perkukuh undang-undang

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah perubahan pentadbiran kerajaan baru-baru ini memberikan dorongan baharu dalam usaha memperkukuh prinsip undang-undang negara.

Baginda bertitah, dalam hal ini undang-undang yang dilihat mengekang hak kebebasan individu sedang disemak dan usaha juga sedang digembleng untuk menghapuskan sekatan terhadap media.

Titah baginda, langkah sedang diambil untuk memulih dan memperbaharui institusi penting demokrasi dan tadbir urus yang baik, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parlimen, institusi kehakiman, agensi penguat kuasa dan pengawal seliaan selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita menyambut baik perubahan ini sekiranya semua inisiatif penting mencapai matlamat dengan sepenuhnya kerana rakyat Malaysia berhak untuk mendapatnya.

“Beta tiada keraguan bahawa pada masa kita mengatasi kekurangan dalam sistem undang-undang, memperbaiki kekurangan dalam pelaksanaan dan memperbaharui institusi, ia akan menjadi lebih mudah bagi negara untuk mencapai taraf hak asasi antarabangsa,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam ucaptama pada Persidangan Undang-undang Antarabangsa Malaysia (IMLC) 2018, bertema ‘Raising The Bar By Preserving and Furthering the Rule of Law’, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Sultan Nazrin bertitah, pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan bukan sahaja menjadikan badan kehakiman bebas yang berpengetahuan dan bijaksana, malah berani dan berprinsip.

Baginda bertitah, pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman juga seharusnya memastikan semua individu termasuk kerajaan bertanggungjawab terhadap undang-undang, walau sebesar mana kuasa dan kekayaan dimiliki.

Titah baginda, ia seperti yang dititahkan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Azlan Shah melalui penghakiman penting yang berbunyi;

“Setiap warganegara tidak kira status rasmi atau sosial, adalah di bawah tanggungjwab sama bagi setiap perlakuan yang dibuat tanpa justifikasi perundangan. Kesaksamaan ini di sisi undang-undang meminimumkan penindasan,” katanya.

Sultan Nazrin bertitah, kedaulatan undang-undang dengan itu adalah terikat dengan perlindungan hak asasi manusia dan pemeliharaan maruah kerana ia menghalang pegawai awam yang korup menggunakan kuasa untuk menganiaya atau membezakan golongan dan individu tertentu.

Baginda bertitah, akhirnya ujian sama ada prinsip undang-undang itu adalah teguh atau sebaliknya dalam sesuatu masyarakat ialah nasib rakyat biasa, iaitu seseorang yang mempunyai keupayaan terhad dan tanpa kuasa politik.

Titah baginda, jika kedaulatan undang-undang mengatasi segala-galanya, setiap warganegara seharusnya mempunyai akses yang sah dan dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang.

“Tetapi jika kedaulatan undang-undang itu hanya tinggal pada nama, sudah pasti akan wujud mangsa dan pihak yang dijadikan mangsa.

“Mengembalikan prinsip undang-undang sentiasa menjadi cabaran yang jauh lebih besar daripada memusnahkannya. Ia bukan tugas yang boleh dilakukan secara ambil mudah, kompromi secara sinis dan langkah separuh hati.

“Ia tidak mencukupi, lebih-lebih lagi untuk menangani hanya kepada individu yang bertanggungjawab secara langsung merosakkan prinsip undang-undang,” titah baginda.

Berita Harian X