Selasa, 14 Ogos 2018 | 8:50pm

Program baharu akan dirangka ganti PLKN

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) selepas Sukan Asia bagi memperincikan program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan Kabinet semalam.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pertemuan hari ini hanya membabitkan beberapa wakil JLKN dan Biro Tata Negara (BTN).

“Perbincangan lanjut belum lagi. Hari ini hanya nak memahami struktur dan apa yang mereka nak cadangkan.

“Akan ada satu lagi perjumpaan selepas saya ke Sukan Asia di Jakarta dan di situ akan ada perbincangan rapi.

“Apa yang saya nak tekankan adalah pembaharuan yang kita bawa membabitkan tokoh korporat.

“Saya sudah menghubungi pihak Khazanah, CIMB dan Petronas untuk berperanan supaya kos program yang kita perbaharui akan jadi kos dipacu oleh industri,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Syed Saddiq berkata, perkara itu penting dalam usaha kementerian melahirkan lebih ramai belia berwawasan.

“Kita nak adakan lebih banyak pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memacu pembangunan negara,” katanya.

Kelmarin, Kabinet memansuhkan PLKN dan BTN berkuat kuasa serta-merta dan akan diganti dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa depan berwawasan dan tinggi nilai jati diri.

Program baharu itu akan diuruskan KBS meliputi penstrukturan semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset.

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditemui di Bangunan Parlimen. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X