Rabu, 15 Ogos 2018 | 7:07pm
BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Rasuah punca tanah rizab susut

KUALA LUMPUR: Amalan rasuah didakwa menjadi punca utama penyusutan tanah rizab Melayu, sama ada hak miliknya dibatalkan atau dipindah tanpa diganti semula.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang, juga mendakwa salah guna kuasa berlaku pada semua peringkat, menyebabkan penyusutan tanah rizab Melayu gagal dibendung, biarpun ada dasar bagi memastikan hak istimewa itu kekal terpelihara.

“Kuasa membatalkan atau menukar status tanah rizab Melayu di tangan eksekutif di setiap negeri. Malangnya kuasa yang ada disalahgunakan. Malah, rasuah bermula dari peringkat atasan hingga bawahan,” katanya.

Beliau berkaitan demikian pada sidang meja bulat berkaitan tanah simpanan Melayu yang dianjurkan Majlis Perundingan Melayu (MPM), di sini hari ini.

Sidang berkenaan antara lain membincangkan isu membabitkan tanah rizab Melayu di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) serta apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang di bawah Pakatan Harapan (PH).

Tanah rizab Melayu satu daripada tujuh perkara termaktub dalam Wasiat Raja-Raja Melayu yang dimeterai pada 5 Ogos 1957 sebagai persetujuan dengan British sebelum pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan laporan Audit Negara 2013, kedudukan tanah rizab Melayu ketika itu hanya berbaki kurang 12 peratus, berbanding 50 peratus yang diperuntukan di bawah wasiat berkenaan.

Sehubungan itu, Abu Zahar berkata, kerajaan perlu memandang serius untuk memulihkan keadaan berkenaan, termasuk mengkaji semula keberkesanan dasar sedia ada.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakukti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak, berkata tanah rizab Melayu setakat ini dianggarkan meningkat sehingga 31.2 peratus, berbanding 12 peratus yang diaudit, lima tahun lalu.

Katanya, ia mungkin disebabkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pentadbir negeri, selain usaha menggantikan semula tanah yang ditukar status sebelumnya.

“Bagaimanapun, peratusan peningkatan itu bukanlah angka rasmi, sebaliknya berdasarkan laporan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) beberapa negeri,” katanya kepada pemberita selepas sidang meja bulat itu.

Mohd Hasrol berkata, sasaran untuk memastikan pemilikan 50 peratus tanah rizab Melayu hanya akan tercapai melalui desakan terhadap kerajaan supaya campur tangan dalam hal berkenaan.

Beliau berkata, undang-undang tidak seragam dan enakmen berbeza-beza di setiap negeri turut mencetuskan masalah dalam melindungi dan mengekalkan kedudukan tanah rizab Melayu.

Berita Harian X