Khamis, 16 Ogos 2018 | 1:54pm
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media selepas menghadiri persidangan Dewan Rakyat ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Saddam Yusoff

Kaji CCTV di taska, prasekolah - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan kesediaan kerajaan meneliti cadangan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) atau prasekolah seluruh negara bagi menangani kes penderaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini pengusaha taska memasang CCTV di premis masing-masing secara sukarela bagi memantau operasi harian dan meningkatkan keselamatan.

“Ada yang mencadangkan pemantauan CCTV dijadikan syarat membuka taska.

“Saya sudah bincang perkara ini dengan agensi berkenaan termasuk siapa yang akan memantaunya, siapa yang pasang, bagaimana nak letakkan supaya pemantauan lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-UMNO Parit Sulong) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini bertanya mengenai usaha kerajaan memutihkan pusat taska tidak berdaftar dan jika jabatan khusus pengurusan kanak-kanak akan diwujudkan bagi meneliti aspek pengasuhan supaya lebih sistematik.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kementerian sentiasa memantau pengurusan taska bagi memastikan kualitinya.

“Kita turut melakukan pemeriksaan berkala dan mengejut di taska daerah yang diberi kuasa kepada pegawai dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk memastikan ia mematuhi tahap penjagaan ditetapkan,” katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Noraini, Timbalan Perdana Menteri berkata, kementerian sentiasa memastikan perkhidmatan berkualiti di taska dikendalikan oleh pengusaha dan pengasuh terlatih.

Katanya, industri pengasuhan belum berkembang dengan sempurna dan didorong kemampuan ekonomi keluarga terhadap perkhidmatan, menyebabkan permintaan dan penawaran pasarannya kurang memuaskan.

“Kebanyakan pengasuh menerima bayaran gaji rendah sementara menunggu tawaran lebih baik,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kementerian akan memperhalusi Akta Taska untuk mewajibkan semua pengasuh kanak-kanak memiliki kelayakan dalam bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.

INFO

16,873 - pengasuh di taska berdaftar dengan JKM sehingga Jun lalu

13,700 - tidak penuhi syarat minimum

Berita Harian X