Khamis, 16 Ogos 2018 | 2:35pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh mengadakan sidang media pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh mengadakan sidang media pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Pertahan institusi raja, martabat Perlembagaaan Persekutuan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan institusi raja di negara ini dan memartabatkan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata pada masa sama semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, kebudayaan atau kepercayaan perlu memberi penghormatan dan pengiktirafan yang tinggi terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kepentingan semua kelompok masyarakat dan menjadi simbol kepada perpaduan.

“Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Konsep Raja Berperlembagaan yang mengimbangi kerajaan demokrasi pilihan rakyat menjadikan Malaysia sebagai negara yang unik dan stabil walaupun terdapat kepelbagaian.

"Ini kerana Raja dan Perlembagaan Persekutuan adalah dua elemen penting yang menjaga keharmonian kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini sejak merdeka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial serta Hal Ehwal Agama Islam) Bersama Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), P Waytha Moorthy.

Fuziah berkata perpaduan nasional harus terus menjadi satu misi penting bagi negara. Ia memerlukan satu kerangka bersifat komprehensif yang akan mampu menterjemahkan sebaik mungkin wajah kerencaman masyarakat majmuk Malaysia.

Katanya, keadilan, penerimaan dan toleransi perlu menjadi nilai asas kepada kerangka perpaduan nasional.

"Seterusnya, nilai-nilai ini perlu digarap dengan menjadikan Perlembagaan sebagai kerangka utama dalam mendukung agenda perpaduan nasional dalam konteks Malaysia," katanya.

Sementara itu Waytha Moorthy berkata, bagi mewujudkan keseimbangan dan menghormati sensitiviti rakyat yang pelbagai latar belakang, peranan setiap ahli JKMPKA harus mencerminkan kematangan diri dalam menyampaikan mesej positif.

“Dalam menuju Malaysia baharu ini, kita masih melihat dan mengalami pelbagai cabaran antaranya penghinaan terhadap agama, kecelaruan minda, pengaruh media sosial dan pelbagai ancaman luar negara yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan dan keselamatan negara.

“Saya berharap melalui platform JKMPKA ini, anasir yang boleh mengganggu kestabilan dan pengukuhan hubungan antara penganut agama dapat ditangani melalui penganjuran program, aktiviti dan cadangan yang dapat dimeterai pelaksanaannya.

“Melalui cara ini saya berharap hubungan sedia terjalin diperkukuhkan lagi demi kebaikan bersama dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Berita Harian X