Khamis, 16 Ogos 2018 | 7:38pm
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Muhammad Sulaiman
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Muhammad Sulaiman

KKM ambil tindakan isu kopi antiracun

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak terbabit dalam pengeluaran dan pemasaran kopi pracampur Green 35 yang didakwa antiracun dan boleh mengubati pelbagai penyakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia konon dibuktikan melalui demonstrasi dengan mencampurkan bahan peluntur ke dalam kopi pracampur sebelum diminum sebagai bukti keberkesanan produk itu.

“Kementerian Kesihatan juga mendapati maklumat pengilang yang dinyatakan pada label produk berkenaan adalah palsu, di samping tidak mematuhi keperluan pelabelan mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Selain itu, menyalahgunakan logo sistem jaminan keselamatan makanan yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 16, Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang suri rumah di Gua Musang, Kelantan nyaris maut apabila sesak nafas dan pedih usus selepas beberapa jam minum kopi yang dicampur cecair peluntur.

Laporan memetik, mangsa berusia 30 tahun memberanikan diri mencuba campuran berkenaan selepas diberitahu ia sejenis kopi antiracun.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memandang serius isu ini dan melarang pengusaha makanan dan mana-mana orang lain membuat pemasaran menggunakan bahan berbahaya seperti bahan peluntur, racun dan seumpamanya dalam demonstrasi produk makanan.

Menurutnya, mereka yang didapati mengiklankan produk makanan bagi tujuan jualan untuk memperdaya pembeli boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 17, Akta Makanan 1983.

“Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna serta menasihatkan mereka supaya tidak meminum sebarang bahan yang boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi Kementerian Kesihatan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Berita Harian X