Khamis, 16 Ogos 2018 | 7:41pm
FOTO hiasan.

'Kos ambil alih tol bukan RM400b'

KUALA LUMPUR: Kos pengambilalihan konsesi tol sepatutnya tidak mencecah RM400 bilion seperti yang dinyatakan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, sebelum ini.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, berkata angka RM400 bilion itu adalah jumlah dinyatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mengambil kira pampasan kepada syarikat konsesi serta keuntungan masa depan.

“Jika kita ambil alih konsesi tol, kita akan bayar pampasan mengikut kadar termaktub dalam kontrak, iaitu kos pembinaan lebuh raya, tidak termasuk keuntungan masa depan.

“Oleh sebab itu, jumlah yang diperlukan untuk mengambil alih konsesi tol tidak menghampiri angka RM400 bilion,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Selangor, berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Baru di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, bahawa kerajaan menangguhkan cadangan menghapuskan tol kerana pampasan perlu dibayar kepada syarikat konsesi membabitkan kos lebih RM400 bilion.

Baru dilaporkan berkata, pemansuhan tol itu akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara jika ia dilakukan dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ketika ini.

Pada 2014, Pua dilaporkan portal Kerajaan Selangor, Selangor Kini sebagai berkata, kos RM400 bilion bagi mengambil alih konsesi lebuh raya di negara ini seperti dimaklumkan Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Fadillah Yusof, adalah tidak masuk akal.

Pua ketika itu dilaporkan berkata, kos pengambilalihan sepatutnya kurang RM29 bilion jika mengambil kira kos pembinaan 26 lebuh raya bertol di negara ini.

Ditanya saranan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya Pakatan Harapan (PH) melantik Pua mengetuai inisiatif menghapuskan tol, beliau berterima kasih pada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Terima kasih atas keyakinan Datuk Seri Najib Razak kepada saya, dan saya akan menghulurkan segala cadangan kepada pihak kerajaan,” katanya.

Berita Harian X