Khamis, 16 Ogos 2018 | 9:17pm
MENTERI Kerja Raya, Baru Bian . - Foto Saddam Yusoff

Menteri mengaku guna statistik kerajaan BN

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengaku kos pengambilalihan konsesi tol sebanyak RM400 bilion yang dinyatakan di Dewan Rakyat Isnin lalu, adalah angka disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kos yang dinyatakan ketika sesi soal jawab Dewan Rakyat itu adalah berdasarkan laporan disediakan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang sudah dibubarkan selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

“Ya, (RM400 bilion) adalah daripada laporan PEMANDU ketika kerajaan terdahulu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang mendakwa kos pengambilalihan konsesi tol sepatutnya kurang daripada RM400 bilion kerana angka itu merangkumi pampasan kepada syarikat serta keuntungan masa depan.

Tony turut menggesa kerajaan mengira semula kos berkenaan bagi menentukan angka sebenar untuk pengambilalihan itu kerana kerajaan tidak perlu mengambil kira keuntungan masa depan.

Sebelum ini, Baru dilaporkan berkata, kerajaan menangguhkan cadangan menghapuskan tol kerana pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi akan membabitkan kos lebih RM400 bilion ketika menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-UMNO Jelebu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Baru mengakui sedar angka RM400 bilion itu merangkumi pampasan dan keuntungan masa depan seperti dikatakan Tony, namun menafikan keperluan untuk kerajaan mengira semula kos berkenaan.

“Itu (kira semula kos) tidak relevan lagi kerana kerajaan sudah buat keputusan untuk menangguhkan (cadangan hapuskan tol) kerana keadaan kewangan negara, jadi tak perlu dipertikaikan kosnya,” katanya.

Ditanya mengapa kerajaan membuat keputusan menggunakan kos disediakan BN dan bukan berdasarkan kiraan sendiri, Baru mengulangi bahawa perkara itu tidak lagi relevan kerana penangguhan itu sudah dimuktamadkan.

Mengenai dakwaan Tony mengatakan kos ambil alih tidak sampai RM400 bilion, Baru enggan mengulas lanjut.

“Kalau beliau (Tony) kata begitu, pasti ada asas di sebalik angka berkenaan tapi saya tak boleh nafi atau kata ia salah,” katanya.

Berita Harian X