Khamis, 16 Ogos 2018 | 10:59pm

PH tunai janji beri subsidi petrol

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) pantas dalam menunaikan janji 100 harinya untuk menstabilkan harga bahan api di pasaran tempatan dengan menanggung subsidi bagi mengekalkan harga runcit petrol dan diesel.

Selepas menerajui pemerintahan negara ini susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperuntukkan RM3 bilion sehingga hujung tahun ini bagi menanggung subsidi pengekalan harga runcit petrol dan diesel.

Lantaran itu, harga jualan runcit bagi produk petroleum RON95 dan diesel dikekalkan, masing-masing pada harga RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.

Sementara harga RON97 diapungkan secara apungan terurus, sama seperti yang dilaksanakan pentadbiran terdahulu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kumpulan B40 terus dibantu apabila kerajaan baharu menstabilkan harga petrol, yang mana kerajaan sebelum ini hanya membuat apungan berdasarkan harga pasaran.

Beliau berkata, walaupun harga minyak mentah dunia meningkat sebanyak 42 peratus kepada AS$74 setong berbanding anggaran AS$52 setong dalam Bajet 2018, harga RON95 serta diesel tetap kekal, masing-masing pada RM2.20 dan RM2.28 seliter.

“Ini membabitkan subsidi petrol kira-kira 30 sen seliter berjumlah RM3 bilion yang ditanggung kerajaan sehingga penghujung 2018,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan janji 100 hari manifesto PH itu, Pengarah Projek Khas, Universiti Kuala Lumpur, Prof Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid mengakui tanpa subsidi, rakyat harus membayar kos bahan api yang tinggi memandangkan harga minyak mentah dunia terus meningkat dengan kini melebihi paras AS$70 setong.

Beliau berkata, pengenalan semula subsidi bahan api itu membantu mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup rakyat.

Bagi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) pula, ia menyifatkan kerajaan bertindak pantas dalam menunaikan janji manifestonya seperti menstabilkan harga petrol dan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Ia berkata, komitmen awal ke arah menyediakan persekitaran yang lebih mesra perniagaan serta lebih telus dan akauntabiliti adalah petanda yang baik.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mekanisme subsidi bahan api itu perlu ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia menepati kepada golongan sasaran.

Beliau berkata, penggunaan MyKad yang menghubungkan secara terus mengenai tahap pendapatan seseorang boleh dipertimbangkan supaya hanya golongan B40 yang mendapat manfaat subsidi minyak.

Namun, agensi penarafan kredit terkemuka antarabangsa, Fitch Ratings mempunyai pandangan berbeza, kerana berpendapat langkah mengembalikan subsidi bahan api itu mengundang risiko negatif kepada profil kredit negara ini.

Berita Harian X