Jumaat, 17 Ogos 2018 | 7:24pm
KAMERA Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) . - Foto Asyraf Hamzah

Pembatalan saman AES dikhuatiri undang sikap lebih cuai

KUALA LUMPUR: Pembatalan 3.1 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlakunya peningkatan kemalangan akibat kecuaian pengguna jalan raya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengumuman kerajaan itu seolah-olah memberi kelonggaran kepada pengguna jalan raya untuk terus melakukan kesalahan tanpa dikenakan sebarang tindakan

Katanya, sepatutnya pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan harus dikenakan tindakan undang-undang kerana memandu dengan cuai dan boleh mengakibatkan kemalangan.

“Apabila saman dibatalkan, tidak mustahil mereka yang tidak mempunyai rasa bersalah akan terus melakukan perkara sama.

“Seeloknya kerajaan memikirkan perkara lebih utama seperti masalah penempatan kamera AES kerana lokasi yang tidak sesuai.

“Ia berikutan kamera AES tidak diletakkan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya kepada NSTP.

Kabinet hari ini memutuskan 3.1 juta saman AES membabitkan nilai RM435 juta yang belum dibayar sejak sistem itu dilaksanakan pada 2012, dibatalkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dilaporkan berkata, sistem berkenaan akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini, selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu.

Mengulas lanjut Mohd Yusof berkata, kerajaan sepatutnya meneliti lokasi yang tepat untuk memastikan kadar kemalangan di kawasan yang kerap berlaku dapat dikurangkan.

“Tidak sesuailah jika kamera AES ini diletakkan di kawasan berbukit kerana mungkin pengguna akan membawa kereta melebihi had ditetapkan. Jadi saya harap pendekatan lebih rasional perlu diambil dan jangan biarkan pengguna jalan raya melakukan kesalahan sewenang-wenangnya,” katanya.

Sementara itu, menerusi komen netizen daripada Facebook Berita Harian Online, Yasmin Mohd Kamis, berkata dia bersetuju dengan pembatalan itu, namun menasihati pengguna untuk tidak memandu dengan laju.

Bagi, Jeff Chik, beliau memuji tindakan diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mengajak semua pengguna lain untuk mengikuti syarat dikeluarkan oleh JPJ.

Bagi pengguna laman Facebook dikenali Tutup Botol Kaca, beliau memuji kerajaan PH kerana melakukan yang terbaik untuk rakyat dan segala komen tidak membina, tidak perlu dihiraukan.

Berita Harian X