Jumaat, 17 Ogos 2018 | 8:36pm
PENGERUSI Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif (tengah) bersama Profesor Sains Politik UiTM, Prof Dr Nasrudin Mohamed (dua kiri) dan Pensyarah Kanan Putra Bussiness School UPM, Dr Ahmad Razman Abdul Latiff (kiri) ketika ditemubual dalam program Talk Show LIVE di Studio Balai Berita, Bangsar. - Foto Rosdan Wahid
PENGERUSI Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif (tengah) bersama Profesor Sains Politik UiTM, Prof Dr Nasrudin Mohamed (dua kiri) dan Pensyarah Kanan Putra Bussiness School UPM, Dr Ahmad Razman Abdul Latiff (kiri) ketika ditemubual dalam program Talk Show LIVE di Studio Balai Berita, Bangsar. - Foto Rosdan Wahid

Tempoh setahun laksana 10 janji

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan 10 janji oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh setahun pertama pemerintahan, bukannya 100 hari seperti yang dijanjikan.

Profesor Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Nasrudin Mohamed, berkata, tempoh pelaksanaan dalam masa 100 hari tidak realistik kerana pelbagai aspek perlu diambil kira.

Katanya, pencapaian kerajaan dalam menunaikan 10 janji adalah pada tahap memuaskan atau C iaitu 60 peratus, bukan D atau gagal seperti diberikan oleh pembangkang.

“Walaupun janji itu tidak dilaksanakan sepenuhnya tetapi inisiatif ke arah itu sudah ada ,” katanya pada sesi Bual Bicara Pakatan 100 Hari di Studio NSTP, Balai Berita, hari ini.

Sesi bual bicara berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif dan Pensyarah Kanan Putra Bussiness School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latif.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, sentimen rakyat mengenai pelaksanaan 10 janji itu perlu diredakan dan kerajaan juga harus menyediakan maklumat tepat mengenainya bagi mengelak mereka mendapatkan info dari laman sosial.

“Contohnya mengenai isu cukai, rakyat terutama golongan B40 (kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah) berharap mereka akan memiliki keupayaan yang lebih untuk berbelanja selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

“Ini kerana kuasa membeli rakyat terus lemah, sekali gus memberi gambaran yang tidak baik bahawa kerajaan gagal untuk menunaikan janji mereka,” katanya.

Sementara itu Ahmed Razman berkata, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September ini juga dijangka tidak banyak membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Ini kerana, katanya harga barang di pasaran dijangka akan terus mengalami kenaikan.

“GST bukan penyebab utama kenaikan kos sara hidup di negara ini kerana sewaktu SST dijalankan dahulu pun, harga barang turut meningkat.

”Ini kerana manipulasi harga barang tetap akan berlaku, justeru semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengatasinya,” katanya.

Mengulas mengenai markah D diberikan pembangkang kepada kerajaan dalam menunaikan janji mereka, Ahmed Razman berkata, semua itu terpulang kepada pendapat masing-masing.

Begitupun kata Ahmed Razman, orang ramai tidak seharusnya hanya tahu menuding jari mencari kekurangan kerajaan sebaliknya bersama-sama membantu demi negara tercinta.

“Apapun, tidak perlu penggredan untuk menilai apa yang sudah dilakukan kerajaan dalam masa 100 hari ini kerana ada janji mudah untuk dilaksanakan dan ada yang memerlukan pertimbangan pelbagai faktor,” katanya.

Sementara itu, Rais berkata, pihaknya teruja kerana sepanjang 14 Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, inilah kali pertama manifesto terus dibincangkan rakyat meskipun PRU sudah lama berlalu.

Kata Rais, tiga daripada 10 janji Manifesto PH sudah dilaksanakan sepenuhnya iaitu menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup; menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 serta melancarkan kajian terperinci mengenai projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

“Janji PH untuk menstabilkan harga minyak, memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum, menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk 1MDB, FELDA, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Tabung Haji serta Skim Peduli Sihat, kini hampir dilaksanakan sepenuhnya.

“Hanya janji untuk menghapuskan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka FELDA sahaja yang masih dalam proses untuk dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X