Jumaat, 17 Ogos 2018 | 9:52pm

PM tiba di Hangzhou memulakan lawatan 5 hari ke China

HANGZHOU: – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini, hari ini untuk memulakan lawatan rasmi lima hari di China, bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan 44 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Hangzhou ialah tempat pertama dilawati dengan Perdana Menteri turut melawat Beijing, ibu negara China.

Pesawat yang membawa pemimpin Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hangzhou Xiaoshan pada kira-kira 9.05 malam (sama waktu di Malaysia).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Dr Mahathir yang diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir sekali lagi melakukan lawatan rasmi ke China sebagai Perdana Menteri selepas tempoh kira-kira 17 tahun, dengan kali terakhir melakukan lawatan rasmi ke negara ini pada Oktober 2001.

Sepanjang pertama kali menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003, Dr Mahathir melawat China sebanyak tujuh kali, dan sembilan kali lagi selepas beliau bersara.

​​​​​​​

Esok, Dr Mahathir dijadual melawat ibu pejabat Alibaba Group di bandaraya ini, tempat kelahiran pengasas bersama dan pengerusi eksekutifnya, Jack Ma.

Turut tersenarai dalam aturcara lawatannya di Hangzhou adalah lawatan ke ibu pejabat Zhejiang Geely Holding Group yang memiliki 49.9 peratus pegangan dalam Proton, sebelum meneruskan lawatan ke Beijing.

Di ibu negara China itu pada Ahad, Perdana Menteri dijadual melawat Da Jiang Innovations, satu daripada pengeluar dron terbesar di dunia, menghadiri dialog dengan komuniti perniagaan Malaysia dan China serta mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia.

Dr Mahathir dijadual mengadakan perbincangan dengan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang pada Isnin.

Pada hari terakhir lawatan (Selasa), Dr Mahathir akan melawat Taman Sains Pertanian dan Inovasi Teknologi Negara. – BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Xiaoshan, Hangzhou sempena Lawatan Rasmi ke Republik Rakyat China (RRC) selama lima hari atas jemputan Perdana Menteri RRC, Li Keqiang. Turut kelihatan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya (tiga dari kiri). - Foto BERNAMA
Berita Harian X