Jumaat, 17 Ogos 2018 | 11:09pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Perdana Menteri Sempena 100 Hari Pentabiran Kerajaan Pakatan Harapan di Bangunan Perdana Putra. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Perdana Menteri Sempena 100 Hari Pentabiran Kerajaan Pakatan Harapan di Bangunan Perdana Putra. - Foto BERNAMA

PM bentang perkembangan janji 100 hari

KUALA LUMPUR: Genap 100 hari Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan, tanpa membuang masa Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, membentangkan perkembangan mengenai Janji 100 Hari PH yang menjadi manifesto parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak berlengah untuk melunaskan janji utama, namun walaupun berjaya mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu tanpa pertumpahan darah ataupun pertembungan di antara rakyat dengan pihak berkuasa seperti yang berlaku di serata dunia, PH menghadapi kekangan kerana kerosakan dilakukan kerajaan terdahulu lebih buruk daripada yang dijangkakan.

Jelasnya, jabatan kerajaan dipergunakan kerajaan terdahulu untuk membuat kerja-kerja parti dan bukannya melaksanakan pentadbiran negara dengan baik.

“Beban yang besar yang ditinggal oleh pemerintah dahulu ialah hutang bertrilion ringgit, untuk membayar faedah sahaja boleh jadi kita muflis. Apatah lagi dengan bayaran hutang pokok.

“Kalau hendak cerita tentang kesalahan pemerintah dahulu, masa berhari-hari diperlukan. Oleh itu kita akan tumpukan kepada tindakan memenuhi janji dalam manifesto kita,” katanya menerusi Perutusan Perdana Menteri sempena 100 hari pentadbiran kerajaan PH yang disiarkan secara langsung penyiar tempatan, malam ini.

Perdana Menteri paling berusia di dunia itu, berkata kerajaan PH memulakan proses menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan membawa kembali Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang kini dalam proses kelulusan Parlimen.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan juga memulakan proses untuk menunaikan janji-janji yang lain, iaitu:

- Harga petrol biasa dikekalkan, melainkan RON97 yang kurang diguna;

- Caruman Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah bermula pada 15 Ogos 2018;

- Kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing telah dimulakan;

- Pelaksanaan projek kereta api laju High Speed Rail (MyHSR) telah ditangguhkan pada 30 Mei 2018;

- Pelaksanaan Mass Rapid Transit (MRT) Fasa 3 dibatalkan pada 30 Mei 2018;

- Projek kereta api East Coast Rail Link (ECRL) telah ditangguhkan pelaksanaannya pada 3 Jun 2018;

- Projek Multi Product Pipeline (MPP) dan Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) telah ditangguhkan pada 5 Julai 2018;

- Menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum beransur-ansur dalam masa lima tahun telah bermula;

- Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40. Memorandum Jemaah Menteri berkaitan perkara ini sedang disediakan;

- Suruhanjaya Siasatan Diraja 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Felda, MARA dan Tabung Haji tidak dilaksanakan kerana siasatan pelbagai agensi sedang dijalankan dan mahkamah akan tentukan keputusan kes;

- Siasatan ke atas 1MDB oleh Pasukan Khas telah dimulakan sejak 21 Mei 2018;

- Siasatan ke atas FELDA, MARA dan Tabung Haji juga telah dimulakan;

- Kepimpinan 1MDB telah dirombak sejak 28 Jun 2018;

- Kepimpinan Felda dan Tabung Haji telah dirombak sejak 14 Mei 2018;

- Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 telah dipersetujui dan akan dibentuk;

- Berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pemansuhan senarai hitam telah bermula pada 24 Mei 2018 hingga 8 Jun; 2018 melibatkan seramai 429,945 peminjam;

- Selain itu, jumlah pelajar cemerlang yang diberi diskaun atau lupus hutang sehingga 31 Mei 2018 ialah seramai 51,272 peminjam melibatkan amaun sebanyak RM1.56 bilion;

- Dalam usaha menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, terdapat tiga mekanisma yang dikenal pasti iaitu:

a) Insentif pelupusan sebahagian hutang tanam semula yang ekstrem melalui penyediaan dana sebanyak RM300 juta untuk lima tahun;

b) Pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang bersama sistem Felda melibatkan 90,418 peneroka dengan kos sebanyak RM452 juta;

c) Insentif pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures (FGV) melibatkan 77,972 peneroka dengan kos sebanyak RM103 juta.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, antara lain kerajaan berjaya menyelesaikan masalah kerakyatan kaum India dan kaum lain yang memegang Kad Pengenalan Merah berumur 60 ke atas dan setakat ini, hampir 3,500 kaum India akan diberi Kad Pengenalan Biru.

“Selain daripada janji manifesto dalam tempoh 100 hari, beberapa perkara lain yang dicapai memperlihatkan pendekatan holistik atau lebih menyeluruh yang telah dilaksanakan, antara lain, pelantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang merupakan Ahli Parlimen pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB daripada Akta Rahsia Rasmi.

“Ini memperlihatkan kesediaan parti pemerintah diteliti oleh pembangkang,” katanya.

Kerajaan PH juga mengamalkan pendekatan kerajaan terbuka dan tidak akan menyembunyikan laporan jenayah oleh sesiapa, termasuk anggota kabinet, katanya.

Dalam usaha mereformasikan institusi-institusi yang menjadi tunggak negara, Dr Mahathir berkata satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan setakat ini hampir 300 cadangan yang diusulkan oleh jawatankuasa itu telah diterima.

“Kami juga berjaya mendapatkan pengampunan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang telah kami janjikan.

“Badan-badan pencegah rasuah dan integriti negara diperkukuhkan dan semua anggota kerajaan dan wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta,” katanya, dan menambah kerajaan juga komited untuk dikenali sebagai sebuah negara yang berintegriti dan bukannya kerana rasuah dan telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan untuk tujuan itu.

Sebelum mengakhiri perutusannya, Dr Mahathir berkata, pegangan kerajaan hari ini adalah berdasarkan kehendak rakyat supaya ‘Rule of Law’ atau pemerintahan mengikut undang-undang dikuatkuasakan.

“Semua yang telah saya nyatakan bukanlah untuk mempertahankan kerajaan baharu ini tetapi menjurus kepada berkongsi dengan rakyat apakah yang telah kami usahakan sejak 9 Mei tahun ini. Walaupun ramai pemimpin kerajaan hari ini tidak mempunyai pengalaman mentadbir tetapi dalam tempoh 100 hari mereka telah berjaya menunai janji dan memperlihatkan keupayaan mentadbir.

“Sebagai manusia biasa, kami tidak dapat elak dari melakukan kesalahan. Kami rela ditegur dan tidak akan bertindak kasar terhadap mereka yang menegur,” tegasnya. – BERNAMA

Berita Harian X