Sabtu, 18 Ogos 2018 | 8:49pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kelonggaran benar restoran tradisi gaji chef asing dikaji

- Gambar oleh

ALOR SETAR: Kementerian Sumber Manusia mempertimbangkan membenarkan pengusaha restoran berasaskan makanan tradisi mengambil tukang masak asing bagi memenuhi konsep perniagaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya memahami sesetengah hidangan tradisi memerlukan tukang masak dari negara asal, sekali gus mengekalkan keaslian rasa hidangan terbabit.

Beliau berkata, bagi masakan tempatan pula, sudah pastinya memerlukan rakyat tempatan, bukannya menggaji orang asing menjadi tukang masak.

“Bagi restoran India dan Pakistan, sudah pastinya keaslian makanan memerlukan orang dari negara terbabit untuk memasak. Mana mungkin menggaji orang dari Pokok Sena atau Sik, dekat sini masak kari kambing, jika masak, pastinya menjadi gulai batang pisang.

“Banyak restoran terbabit menggunakan tukang masak dari negara asal kerana jika ambil orang tempatan, pasti rasanya tidak sama.

“Kita menggalakkan pembantu tukang masak dari kalangan orang tempatan, untuk belajar daripada tukang masak yang hebat,” katanya selepas menghadiri program Merdeka Komuniti 2018 peringkat daerah Kota Setar/Pokok Sena di sini, hari ini.

Ahad lalu, Mahfuz mengumumkan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) dilantik bagi mengkaji cadangan supaya penggajian tukang masak dan pembantu tukang masak warga asing digantikan dengan pekerja tempatan.

Keputusan muktamad pengambilan tukang masak asing ini akan diketahui Oktober ini.

Mengenai pengambilalihan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh kerajaan pada 1 September ini, Mahfuz yang pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (KASE) berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan berlaku pengendalian yang tertumpu kepada aktiviti mengaut keuntungan.

Katanya, syarikat yang mengendalikan AES tidak mempunyai tanggungjawab mendidik pengguna jalan raya tetapi hanya mengaut keuntungan semata-mata.

“Apa yang penting ialah apabila mahu mendidik rakyat, kita tidak boleh mengambil kesempatan dalam mendidik, kaut duit rakyat. Ini syarikat swasta, mereka tidak ada tanggungjawab mendidik.

“Syarikat swasta kalau mendidik rakyat tak buat salah maka syarikat tidak dapat duit. Kerajaan nak didik rakyat dan rakyat kena sedar mereka perlu patuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Berita Harian X