Isnin, 20 Ogos 2018 | 7:25pm
UPACARA penyerahan rasmi 27 rangka anggota tentera dan warga New Zealand (Op Te Auraki) oleh Angkatan Tentera Malaysia kepada Angkatan Tentera New Zealand di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA
UPACARA penyerahan rasmi 27 rangka anggota tyentera dan warga New Zealand (Op Te Auraki) oleh Angkatan Tentera Malaysia kepada Angkatan Tentera New Zealand di Kompleks Bunga Raya. - Foto BERNAMA
Upacara penyerahan rasmi 27 rangka anggota tentera dan warga New Zealand (Op Te Auraki) oleh Angkatan Tentera Malaysia kepada Angkatan Tenytera New Zealand. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu menyaksikan upacara menandatangani dokumen rasmi penyerahan 27 rangka tentera warga New Zealand oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kanan) dan Panglima Tentera Darat New Zealand, Majer General Peter Kelly di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Malaysia serah rangka 27 askar New Zealand

SEPANG: Malaysia hari ini secara rasmi menyerahkan rangka 27 askar New Zealand untuk dibawa ke kampung halaman selepas 63 tahun dikuburkan di negara ini.

Juga dihantar pulang ialah rangka seorang bayi, anak kepada seorang askar Kiwi yang terkorban itu menjadikan jumlahnya 27 rangka diserahkan hari ini.

Penyerahan itu dilakukan pada satu upacara oleh Angkatan Tentera Malaysia bagi menghormati pengorbanan askar berkenaan, yang berlangsung di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Upacara itu juga sebagai menandakan berakhirnya operasi kerajaan New Zealand, Te Auraki, yang bermaksud Kepulangan ke Maori.

Upacara itu bermula dengan 27 van membawa keranda memasuki landasan sebelum keranda yang ditutup dengan bendera New Zealand dibawa keluar dari van oleh pengusung keranda dari anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Ini diikuti dengan majlis menandatangani penyerahan rasmi sijil 27 tentera/rakyat New Zealand oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Angkatan Tentera New Zealand, Mejar Jen. Peter Kelly, dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu.

Selepas majlis menandatangani itu, pembawa pengusung dari Angkatan Pertahanan New Zealand menyambut keranda berkenaan dan meletakkannya ke dalam pesawat Air New Zdealand.

Selepas keranda terakhir ditempatkan ke dalam pesawat berkenaan, lagu Last Post dimainkan oleh Angkatan Tentera Malaysia manakala bendera New Zealand di Kompleks Bunga Raya diturunkan.

Zulkifli kemudian menyerahkan bendera New Zealand itu kepada Kelly.

Askar New Zealand berkenaan meninggal antara 1955 hingga 1971 semasa mereka berkhidmat di bawah Briged Infantri Komanwel 28.

Askar berkenaan membantu Malaysia untuk berhadapan pelbagai ancaman termasuk Darurat, Konfrantasi Malaysia-Indonesia dan meronda sempadan Malaysia-Thailand.

Mengikut laporan awal media, kerajaan New Zealand pada April tahun lepas membuka tawaran kepada keluarga anggota dan pegawai tentera yang disemadikan di luar negara sejak 1 Januari, 1955, untuk rangka askar berkenaan dibawa pulang pada perbelanjaan orang awam.

Operasi Te Auraki di Malaysia bermula pada 4 Julai.

Sebanyak 27 rangka digali keluar dari tiga tempat Perkuburan Perang Komanwel (CWG) – tujuh dari CWG Taiping, 16 dari CWG Kem Terendak di Melaka dan empat dari CWG Cheras termasuk rangka bayi berkenaan.

Proses mengenalpasti identiti mangsa dijalankan oleh ahli antropologi, radiologi dan odontologi merangkumi pakar dari Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan New Zealand serta pakar dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Juga dilaporkan satu majlis akan diadakan apabila rangka askar berkenaan tiba di Lapangan Terbang Auckland pada 21 Ogos ini sebelum ia diserahkan kepada keluarga masing-masing. — BERNAMA

Berita Harian X