Selasa, 21 Ogos 2018 | 8:40am
CAHAYA terang yang dipercayai meteor. - Foto tular di media sosial

'Cahaya terang melintas di langit'

KOTA MARUDU: “Saya terkejut, tiba-tiba cahaya sangat terang di langit melintas sebelum mengecil dan hilang,” kata Lojumi Galapan, 52, mendakwa melihat cahaya misteri disusuli letupan kuat, malam tadi.

Lojumi berkata, cahaya terang itu melintas di ruang udara rumahnya di Kampung Marak-Parak , di sini, ketika dia berehat di beranda.

“Cahaya itu hilang. Tidak pasti ia menjunam ke bawah atau sebaliknya sebelum mengeluarkan bunyi seolah-olah letupan atau guruh tetapi tiada hujan atau petir.

“Cahaya itu kelihatan dari arah barat ke timur. Selepas itu keadaan langit kelihatan kembali seperti biasa, bunyi kuat pula kedengaran kira-kira lima hingga lapan saat,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Letupan pada kira-kira jam 11.30 malam itu dapat didengar dan dirasai penduduk sekitar Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran.

Susulan kejadian itu, netizen di laman sosial mengaitkannya dengan kejadian tahi bintang dengan ada yang mendakwa sempat merakamkan pergerakan cahaya terang di langit.

Penduduk di Tuaran, Hashim Taitun, 33, berkata di berada di beranda rumahnya dan terkejut apabila terdengar letupan dua kali disusuli gegaran beberapa saat.

“Letupan kuat kedengaran dan rumah bergegar menyebabkan saya keluar untuk lihat apa yang berlaku. Beberapa jiran juga keluar dari rumah mengatakan ada letupan dan gegaran. Namun tiada perkara buruk berlaku,” katanya.

Yong Ted Phen, 49, dari Kota Kinabalu berkata dia menyangka petir namun keadaan cuaca agak baik sebelum mendapati ramai penduduk negeri ini berkongsi kejadian itu di laman sosial.

“Ada yang mengatakan letupan itu dari meteor yang jatuh di kawasan Tuaran. Tetapi beberapa komen mengaitkan letupan itu adalah latihan kapal perang milik Amerika Syarikat yang berlabuh di perairan Kota Kinabalu,” katanya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah. ketika dihubungi, memaklumkan belum menerima sebarang laporan atau panggilan kecemasan berhubung dakwaan gegaran dan cahaya misteri berkenaan.

Berita Harian X