Rabu, 22 Ogos 2018 | 11:43am
PENDUDUK Kampung Padang Kota menggunakan sangkar sembelihan mudah alih untuk memudahkan proses menumbang dan menyembelih lembu sempena Hari Raya Aidiladha . - Foto Hafizuddin Mohd Safar
PENDUDUK Kampung Padang Kota menggunakan sangkar sembelihan mudah alih untuk memudahkan proses menumbang dan menyembelih lembu sempena Hari Raya Aidiladha . - Foto Hafizuddin Mohd Safar
PENDUDUK Kampung Padang Kota menggunakan sangkar sembelihan mudah alih untuk memudahkan proses menumbang dan menyembelih lembu sempena Aidiladha. - Foto Hafizudin Mohd Safar
PENDUDUK Kampung Padang Kota menggunakan sangkar sembelihan mudah alih untuk memudahkan proses menumbang dan menyembelih lembu sempena Aidiladha. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Sangkar sembelihan mudah alih jimat masa

KANGAR:Proses menyembelih seekor lembu hanya mengambil masa lima minit saja dengan bantuan inovasi sangkar sembelihan mudah alih dalam majlis ibadat korban di Surau Al-Hidayah di Kampung Padang Kota, di sini, hari ini.

Sangkar sembelihan terbabit dihasilkan Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Raudhah Kampung Sungai Batu Pahat tidak jauh dari Kampung Padang Kota, di sini.

Imam Masjid Ar-Raudhah, Amir Aziz yang mengetuai proses sembelihan berkata, sangkar terbabit dihasilkan untuk mengatasi beberapa masalah utama dalam proses sembelihan selain menjimatkan masa.

“Antara masalah utama ketika proses menyembelih ialah keselamatan petugas, justeru dengan menggunakan sangkar mudah alih sebarang risiko terhadap petugas dapat dikurangkan.

“Selain itu, proses merebahkan haiwan untuk disembelih juga dipermudahkan walaupun saiz haiwan terbabit adalah besar selain tidak memerlukan bilangan petugas yang ramai,” katanya.

Menurut Amir, pihaknya menyembelih lima ekor lembu sebelum diserah kepada ahli kariah kampung Padang Kota untuk proses melapah dan mengagihkan daging yang diketuai Imam Surau Al-Hidayah Kampung Padang Kota, Faryzal Abdul Razak.

“Kami juga sedia menerima jemputan untuk membawa sangkar sembelihan mudah alih itu dan melaksanakan proses menyembelih haiwan khasnya untuk ibadat korban sekiranya mendapat permintaan pada kos yang boleh dirundingkan.

“Setiap tahun, pihak Masjid Ar-Raudhah turut melaksanakan ibadat korban secara besar besaran di perkarangan masjid terbabit dengan menggunakan satu lagi sangkar sembelihan hidrolik dan dijangka akan menguruskan sembilan ekor lembu untuk tahun ini,” katanya.

Berita Harian X