X
Rabu, 22 Ogos 2018 | 2:01pm
KHALID Abdul Samad
KHALID Abdul Samad

Wajar batal ECRL kerana berat sebelah, kos tinggi - Khalid

SHAH ALAM: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) wajar dibatalkan kerana berat sebelah dan kos terlalu tinggi, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat kerajaan menerusi hasil perbincangan dengan semua pihak demi kepentingan negara.

“Ia adalah hasil perbincangan, bukannya kita tidak mahu buat (ECRL) tetapi kosnya terlalu tinggi.

“Kita juga perlu melihat sama ada apa yang dirunding oleh Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) sebelum ini benar-benar menguntungkan negara.

“Banyak yang sudah didedahkan bahawa ia memang berat sebelah. Jika dapat persetujuan daripada China untuk dirundingkan semula demi kebaikan negara kita, Alhamdulilah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Korban Perdana Parlimen Shah Alam di Masjid Riadhussolihin Seksyen 17 di sini, hari ini.

Pada program tahunan itu, sebanyak 14 lembu dan tiga kambing dikorbankan untuk diagihkan kepada kariah kawasan berkenaan.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) buat masa ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengakhiri lawatan ke China berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran Najib mencetuskan kontroversi berikutan kosnya yang mencecah hingga RM70 bilion.

Laluan sepanjang 688 kilometer (km) itu dijangka menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur melalui Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

Dr Mahathir sebelum ini menolak projek itu sambil menyifatkannya sebagai kontrak ‘pelik’ kerana negara perlu membiayainya dengan pinjaman dari China, selain mengupah kontraktor dari negara itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, hasil syor jawatankuasa khas bagi meneliti kes penjualan 64 lot tanah bernilai RM4.28 bilion yang dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa tender terbuka akan diserahkan kepada Dr Mahathir.

“Tun Mahathir sudah pulang ke Malaysia dan insyaAllah kita akan memaklumkan kepada beliau,” katanya.

Berita Harian X