Jumaat, 24 Ogos 2018 | 12:07am
ZAMIHAN Mat Zin. - Foto Hafiz Sohaimi

Zamihan nafi ditamatkan kontrak pegawai deradikalisasi

KUALA LUMPUR: Pendakwah, Zamihan Mat Zin, menyangkal dakwaan kononnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menamatkan kontrak beliau sebagai pegawai deradikalisasi di kementerian itu.

Zamihan berkata beliau tidak pernah dimaklumkan perkara itu, selain menegaskan akan mematuhi terma kontrak sebagai pegawai itu yang dipersetujui selama dua tahun dan tamat pada Jun 2019.

“Perkhidmatan saya masih sah di KDN, cuma pada Jun lalu saya dipindahkan dari KDN ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya tidak diberitahu sebab dipindahkan, namun sebagai penjawat awam saya akur terhadap keputusan itu.

“Program deradikalisasi masih berjalan seperti biasa, masih ada 46 pegawai terbabit dengan program itu yang menjalankan kerja mengikut bidang masing-masing,” katanya pada NSTP malam ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang melaporkan KDN menamatkan kontrak Zamihan sebagai pegawai deradikalisasi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman dilaporkan mengesahkan perkara itu, selain menyifatkan Zamihan sebagai ‘aset penting’ dan ‘pakar rehabilitasi’.

Zamihan turut mempersoalkan kefahaman Azis terhadap ‘kedudukannya’ sebagai penjawat awam.

“Saya penjawat awam tetap, tiada istilah kontrak membabitkan kerja di KDN, walaupun saya kini berkhidmat di JAKIM, ia masih beroperasi dengan pemantauan KDN.

“Merujuk kepada jawatan pegawai deradikalisasi di KDN, pelantikan itu dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri.

“Jika saya tidak memegang portfolio itu, saya masih penjawat awam di KDN,” katanya.

Pada 11 Oktober tahun lalu, Zamihan yang juga seorang penceramah ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan.

Siasatan ke atasnya dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung ceramah yang didakwa berbaur perkauman dan menghina Sultan Johor.

Berita Harian X