Jumaat, 24 Ogos 2018 | 11:43am
PENGERUSI Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin. - Foto Saifullizan Tamadi

Tun Daim jumpa wakil penduduk TTDI

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi membincangkan isu pembangunan di Taman Rimba Kiara (TRK).

Jurucakap wakil penduduk TTDI, Khairuddin Rahim, berkata bekas Menteri Kewangan itu menjemput mereka, semalam, untuk mengadakan dialog dan mendengar luahan penduduk berhubung pembangunan yang dilihat menjejaskan persekitaran kawasan berkenaan.

Katanya, perjumpaan yang diadakan di pejabat bekas Menteri Kewangan itu berlangsung selama 30 minit, sebelum Daim mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Khalid Samad, pada sebelah petang.

“Wakil penduduk memaklumkan kepada beliau mengenai fakta serta pandangan kami mengenai kepentingan memastikan kawasan hijau di sini dipelihara.

“Dengan pertemuan ini, penduduk TTDI berharap pihak berkuasa akan menemui jalan penyelesaian terbaik untuk semua dan menunggu dialog seterusnya dengan Menteri Wilayah,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Projek pembangunan bercampur di Taman Rimba Kiara, Bukit Kiara menimbulkan kontroversi apabila Disember tahun lalu, apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan pengurusan kondominium bersebelahan untuk mengantung perintah pembangunan di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada wakil masyarakat TTDI untuk meneruskan semakan kehakiman terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju hartanah Memang Perkasa Sdn Bhd, dengan Malton Berhad memegang 51 peratus kepentingan syarikat.

Desakan orang ramai supaya cadangan pembangunan di TRK, dihentikan tidak sekadar bimbang terhadap kesan ditimbulkan, tetapi juga gangguan kepada habitat fauna yang terdapat di situ.

Berita Harian X