Sabtu, 25 Ogos 2018 | 4:22pm
KUALA LUMPUR 13 OGOS 2018. Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD
KUALA LUMPUR 13 OGOS 2018. Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Wang BR1M bukan hasil curi - Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan untuk mengurangkan dan menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Najib berkata, BR1M bukan untuk tujuan politik dan kriteria penerimanya berdasarkan pendapatan bulanan isi keluarga tanpa mengira fahaman parti politik.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mendakwa bahawa BR1M dibayar dengan wang yang dicuri dan tujuan BR1M ialah untuk membeli rakyat. Beliau juga mendakwa wang BR1M terlalu kecil dan rakyat tidak merasa.

"Agak pelik tuduhan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) cur wang untuk bagi balik kepada rakyat. Wang untuk membayar BR1M bukan dari sumber yang dicuri," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

DATUK Seri Najib Razak beramah mesra bersama orang ramai ketika hadir ke majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-61 di Taman Botani. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
DATUK Seri Najib Razak beramah mesra bersama orang ramai ketika hadir ke majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-61 di Taman Botani. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Mengulas lanjut, Najib berkata, BR1M yang disalurkan kepada rakyat tersasar ialah dari langkah rasionalisasi subsidi dan hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Orang kaya banyak mendapat faedah daripada subsidi pukal manakala kutipan GST lebih banyak daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST). GST mengurangkan pengelakkan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi gelap.

"Wang ini dikembalikan kepada golongan B40 sebagai BR1M yang jumlahnya terus meningkat kerana kutipan GST meningkat hasil pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dulunya semakin berkembang.

"Bila orang susah dapat duit, duit itu dibelanjakan semula dalam kitaran ekonomi terutama di kawasan luar bandar. Dengan ini, jurang kekayaan dan pendapatan antara golongan yang kaya dan miskin boleh dirapatkan," katanya.

Beliau berkata, keputusan kerajaan itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) hanya mementingkan golongan kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai.

"Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong bukan dihukum. Di mana salahnya kalau kita mengambil wang dari yang kaya dan yang lari cukai untuk membayar kepada yang miskin?

"Adakah PH sudah lupa bahawa mereka berjanj untuk meneruskan BR1M dalam manifesto? Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?" katanya.

Berita Harian X