Selasa, 28 Ogos 2018 | 7:47pm
MODEL projek Forest City di Iskandar Malaysia. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Warga asing beli rumah tak dapat PR

KUALA LUMPUR: Warga asing yang membeli rumah di negara ini tidak akan mendapat status penduduk tetap (PR) secara automatik.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, Malaysia mempunyai syarat sedia ada bagi warga asing membeli rumah di negara ini.

Bagaimanapun, PMO berkata, warga asing yang ingin menjadikan Malaysia sebagai kediaman tetap boleh membuat permohonan menerusi program Malaysia My Second Home (MM2H).

“Dari segi pembelian harta perumahan oleh warga asing dari negara luar, Malaysia mempunyai syarat sedia ada yang boleh diperolehi dalam carian umum.

“Namun begitu, pembelian harta perumahan bukanlah satu jaminan untuk mendapatkan status PR secara automatik.

“Bagi warga asing yang ingin menjadikan Malaysia kediaman tetap mereka, terdapat program kerajaan (MM2H), di mana sesiapa yang berminat untuk memohon, wajib tertakluk kepada syarat yang tersedia ada untuk tatapan umum,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan dikeluarkan PMO itu dipercayai merujuk kepada isu pembelian unit kediaman di projek Forest City, Johor oleh warga asing.

Ia susulan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, rakyat asing tidak akan dibenarkan membeli unit kediaman di projek itu, selain kerajaan tidak akan memberikan visa kepada warga asing untuk tinggal di negara ini.

Bagaimanapun, pemaju Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, berkata mereka mematuhi semua undang-undang dan peraturan dalam penjualan aset itu kepada pembeli warga asing, serta menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang status PR kepada mereka.

Pemaju hartanah itu turut mendakwa, kenyataan Dr Mahathir tidak senada dengan kandungan pertemuan antara Perdana Menteri bersama Pengasas dan Pengerusi Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung.

Di samping itu, PMO turut menegaskan Malaysia menyambut baik pelaburan asing yang memberi faedah kepada negara seperti pemindahan teknologi, menjana pekerjaan kepada warga tempatan serta membangunkan industri.

Katanya, Malaysia turut mengalu-alukan kehadiran pelancong asing, khususnya dari China serta tidak mengenakan halangan selagi mereka mematuhi segala syarat Imigresen.

“Pelancong dari China diberi visa 30 hari sekali masuk apabila melawat negara ini.

“Pada tahun lalu, Malaysia berjaya menarik 2.3 juta pelancong dari China dan untuk tahun selanjutnya, seramai 10 juta pelancong dijangka berkunjung ke negara ini,” katanya.

Berita Harian X