Khamis, 30 Ogos 2018 | 7:59am

Bagi ruang, hak kepada PM teruskan perkhidmatan MPK

PETALING JAYA: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta semua pihak memberi wewenang (hak dan kekuasaan) kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung tindakan mahu meneruskan perkhidmatan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK).

Katanya, Dr Mahathir perlu diberi ruang menetapkan sesuatu kerangka yang dianggap sesuai untuk melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya berpendirian, kita bagi wewenang kepada Perdana Menteri. Jika beliau berasakan perlu kumpulan penasihat begitu, boleh diteruskan.

“Tetapi dalam sistem kita, dari segi dasar yang besar, kita ada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan dari segi kerajaan pula, kita mempunyai jemaah menteri.

“Sekali lagi saya jelaskan bahawa kita perlu beri ruang kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan tugasnya,” katanya dalam wawancara bersama NSTP, kelmarin.

Anwar mengulas mengenai penubuhan MPK dan tindakan Perdana Menteri meneruskan perkhidmatan majlis itu selepas tamat tempoh 100 hari.

BARISAN ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang dilantik Kerajaan Pakatan Harapan.
BARISAN ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang dilantik Kerajaan Pakatan Harapan.

Pada 17 Ogos lalu, Dr Mahathir berkata, MPK tidak akan dibubarkan walaupun penubuhannya menjangkau tempoh 100 hari kerana khidmat mereka masih diperlukan.

Penubuhan MPK diumumkan dua hari selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei lalu yang antara lain bertujuan menstabilkan kerajaan yang dibarisi menteri tidak berpengalaman.

MPK diketuai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan dianggotai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Robert Kuok dan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram Jomo.

Anwar menyedari wujud banyak pendapat mengenai kewujudan MPK, malah Jomo turut menyatakan majlis itu tidak perlu diteruskan.

Anwar berkata, semua semua pandangan itu sudah diteliti tetapi tetap percaya keputusan Dr Mahathir mengenai MPK adalah haknya sebagai Perdana Menteri.

Ditanya pandangannya mengenai alasan Dr Mahathir bahawa MPK itu diperlukan kerana anggota Kabinet tidak berpengalaman, beliau berkata, itu adalah hak Perdana Menteri untuk mendapatkan pandangan dan nasihat mana-mana pihak yang dirasakannya sesuai.

“Perdana Menteri mempunyai hak untuk mendapatkan pandangan dan nasihat sesiapa saja termasuk anggota Kabinet. Nasihat saya kepada anggota Kabinet ialah mereka perlu cepat belajar, rajin mendengar dan membuat kerja dengan pantas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak percaya perlunya majlis penasihat di setiap kementerian kerana itu bukan pilihan terbaik memandangkan negara mempunyai banyak pakar dan cendekiawan dalam bidang masing-masing.

“Ada ratusan kumpulan pakar dalam bidang pendidikan, kesihatan atau ekonomi. Anda hanya perlu mendengar. Saya sendiri mendengar berjam-jam lamanya sebagai contoh mengenai laporan ekonomi dan kajian semula dasar ekonomi seperti inisiatif kediaman baru.

“Itu yang sebenarnya perlu dilakukan. Kita perlu mendengar daripada banyak pihak bukan saja seperti MPK tetapi pihak lain juga,” katanya.

IKUTI WAWANCARA BERSAMA KETUA UMUM PKR, DATUK SERI ANWAR IBRAHIM, SABTU INI.

ANWAR ketika diwawancara bersama NSTP, kelmarin. - Foto Asyraf Hamzah
ANWAR ketika diwawancara bersama NSTP, kelmarin. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X