Khamis, 30 Ogos 2018 | 9:57pm
PAPARAN mesej tular mengenai peletakan jawatan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Anggota Parlimen Pagoh.

Nafi Muhyiddin letak jawatan Ahli Parlimen Pagoh

KUALA LUMPUR: Penyebaran berita berhubung peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Ahli Parlimen Pagoh adalah palsu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, malam ini.

Hafiz berkata, merujuk kepada mesej yang sedang viral mengenai peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Ahli Parlimen Pagoh, ingin dimaklumkan bahawa mesej itu adalah palsu.

"Penyebaran berita palsu adalah satu kesalahan di bawah undang-undang negara dan tindakan tegas boleh diambil ke atas mereka yang melakukan kesalahan ini," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, dikesan menghidap ketumbuhan pankreas dan selamat menjalani pembedahan membuangnya di Hospital Mount Elizabeth, Singapura bulan lalu serta dibenarkan keluar, 7 Ogos lalu.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka menjalani rawatan susulan termasuk kemoterapi untuk tempoh enam bulan sebagai langkah memastikan masalah ketumbuhan tidak berulang.

Hari ini, dalam satu mesej yang kononnya perbualan dalam Whatsapp dilaporkan Muhyiddin akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan.

Mesej itu meminta jentera Barisan Nasional (BN) berkampung di Pagoh untuk menghadapi PRK berkenaan, yang mana disertakan tanda pagar #Pagoh4BN.

tamat#Muhyiddin, pAGOH, PELETAKAN JAWATAN.

Berita Harian X