Jumaat, 31 Ogos 2018 | 11:34am

ECRL mampu capai kata putus manfaatkan Malaysia, China

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dipercayai mampu mencapai kata putus demi faedah Malaysia dan China, selain bersandarkan inti pati prinsip perjanjian perniagaan antarabangsa serta terma dimeterai kedua-dua negara sebelum ini.

Timbalan Duta China ke Malaysia, Chen Chen, ketika menyuarakan keyakinan itu berkata hubungan Kuala Lumpur dengan Beijing kekal utuh kerana masing-masing ingin mewujudkan keadaan ‘menang-menang’ dalam sebarang pemeteraian kerjasama.

Berteraskan kepentingan itu, beliau berkata, China tetap optimis bahawa sebarang pertikaian atau percanggahan pendapat mampu diselesaikan menerusi siri rundingan bagi memperhalusi kebolehlaksanaan projek berkaitan, sekali gus melonjak hubungan diplomatik kedua-dua negara ke arah lebih dinamik.

“Rakyat China sentiasa memandang Malaysia sebagai jiran baik dan rakan kerjasama yang penting, malah menerusi kaca mata kami, (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap pemimpin kanan luar terhormat.

“Kita sentiasa meraih manfaat hasil keakraban hubungan kedua-dua negara, selain ada banyak ruang kerjasama mampu diterokai membabitkan pelbagai aspek dan bersandarkan prinsip ‘menang-menang’.

“Walaupun ada pandangan berbeza berkaitan isu atau projek tertentu, akhirnya kita akan mencari penyelesaian yang wajar dan diterima kedua-dua pihak, dengan memastikan kerjasama Malaysia-China terus subur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Dr Mahathir selepas kembali ke tanah air daripada lawatan kerja rasmi lima hari ke Beijing, menjelaskan bahawa kerajaan sedang mengkaji sama ada akan menangguhkan atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan ECRL dan projek lain berkaitan China.

Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, kajian itu perlu bagi mengelak kerajaan terpaksa membelanjakan wang banyak untuk pembangunan kemudahan pengangkutan awam berkenaan, sekali gus mengetepikan kenyataannya sebelum ini bahawa ECRL dan dua projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) akan dibatalkan.

Ketika ini, Chen berkata, kedua-dua pihak masih meneruskan rundingan membabitkan projek berkaitan, justeru Beijing menyuarakan harapan dan keyakinan Kuala Lumpur akan memastikan hak serta kepentingan syarikat China di Malaysia kekal terjamin.

Selain itu, beliau yakin bahawa China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk lapan tahun berturut-turut, akan diberikan jaminan kebolehpercayaan dan keutuhan semangat semua pelabur dari republik itu sentiasa dilindungi.

Menjengah 45 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China pada 2019, Chen berkata, keserasian kedua-dua negara dalam merangka pembangunan strategik menerusi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) akan dipertingkat mencakupi aspek tertentu yang berupaya menjana kepentingan pelaburan dan ekonomi.

Beliau berkata, ia termasuk sektor perdagangan, pelaburan, pertanian, pembinaan kemudahan perikanan, kapasiti penghasilan dan pembangunan taman perindustrian yang sebahagian daripadanya dalam pelbagai fasa pelaksanaan ketika ini.

“Saya berharap agar kita terus menerokai aspek seperti kebudayaan, pendidikan, sukan, pelancongan dan sebagainya kerana ia berupaya meningkatkan persefahaman serta keakraban kedua-dua negara, sekali gus mewujudkan asas perpaduan utuh demi pembangunan jangka panjang.

“Sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-61, saya mengucapkan semoga rakyat negara ini terus menikmati kedamaian, kemakmuran dan kegembiraan yang sentiasa menjadi teras identitinya,” katanya.

Berita Harian X