Isnin, 3 September 2018 | 5:07pm
SYED Saddiq Abdul Rahman. - Foto NSTP
SYED Saddiq Abdul Rahman. - Foto NSTP

Konsert, festival 'Sayangi Malaysiaku' sempena Hari Malaysia

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Malaysia tahun ini bakal disemarakkan dengan penganjuran konsert dan festival ‘Sayangi Malaysiaku’ di KL Sports City, Bukit Jalil pada 14 hingga 17 September ini.

Penganjuran acara berkenaan adalah hasil inisiatif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (ASWARA).

Acara dibahagikan kepada dua aktiviti iaitu konsert yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 September di Axiata Arena manakala festival jualan dan pameran pada 14 hingga 17 September di padang letak kenderaan A dan B, KL Sports City.

Antara barisan artis tempatan yang akan membuat persembahan adalah Dayang Nurfaizah, Ella, Siti Nordiana, Hael Husaini, Hazama, Ayda Jebat, Altimet, Syamel, Wani Hasrita dan Nabila Razali.

Konsert juga akan diselang-seli dengan persembahan patriotik dan kebudayaan oleh ASWARA.

Bagi menyemarakkan festival jualan dan pameran, Kementerian Belia dan Sukan akan menyediakan 50 gerai pameran secara percuma untuk peniaga mempamer dan mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata semua lapisan masyarakat berpeluang untuk menggunakan infrastruktur dan kemudahan di KL Sports City.

Katanya, selain acara sukan, KL Sport City juga perlu dimanfaatkan sebagai tempat penganjuran aktiviti yang boleh membawa mesej bermanfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

“Kerajaan komited untuk pastikan semua golongan termasuk artis tempatan diberi ruang menggunakan aset atau kemudahan di sini bagi mempamerkan bakat masing-masing yang mana sebelum ini hanya diberikan kepada artis luar negara.

“Kita sedar artis juga bukan sekadar menghibur tetapi mereka turut menggunakan ruang hiburan bagi menyampaikan mesej positif mengenai kenegaraan kepada khalayak yang mana sumber itu perlu diguna sebaik mungkin, antaranya dengan membenarkan infrastruktur sukan di bawah kementerian digunakan sebagai platform oleh golongan yang memiliki pengikut yang besar ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X