Isnin, 3 September 2018 | 6:35pm
RAMKARPAL Singh. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
RAMKARPAL Singh. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Ramkarpal persoal kenyataan SPRM

KUALA LUMPUR: Peguam Lim Guan Eng, Ramkarpal Singh mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu daripada dua tuduhan rasuah, hari ini.

Ramkarpal berkata, tiada apa yang mengejutkan berhubung pembebasan anak guamnya itu.

Katanya, terdapat petunjuk jelas bahawa Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud yang juga Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM sendiri memohon kepada mahkamah untuk menarik balik pertuduhan terhadap Guan Eng.

“Adalah tidak masuk akal bagi SPRM untuk ‘terkejut’ dengan perkembangan ini apabila Masri memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menarik balik tuduhan itu.

“Saya berada di mahkamah pagi ini bersama peguam lain untuk kedua-dua tertuduh, Guan Eng dan Phang Li Khoon dan tidak ada tanda ketidakpuasan hati daripada Masri atau pasukannya (keputusan mahkamah) seperti didakwa pihak SPRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM dalam kenyataannya mendakwa amat terkejut apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon, selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Agensi itu juga menegaskan keputusan menarik balik kes itu diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukan pihaknya.

Ramkarpal berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hadhariah Syed Ismail) tidak terkhilaf apabila membebaskan Guan Eng dan Li Khoon kerana ia konsisten dengan perkembangan semasa berkaitan pendakwaan kes rasuah termasuk membabitkan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Katanya, pada 2015, Dr Mohamad Salleh yang juga suami bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dilepaskan daripada dua tuduhan pecah amanah RM49.7 juta apabila pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk tidak meneruskan pendakwaan.

“Dalam kes hari ini, kedua-dua tertuduh sudah mengemukakan representasi yang terperinci kepada Peguam Negara mengenai kewajaran pertuduhan itu patut ditarik balik dan diterima.

“Yang Arif hakim menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya dan tidak terkhilaf dengan memerintahkan pembebasan (Guan Eng) dan bukan dilepas tanpa dibebaskan, apatah lagi pendakwaan sendiri menunjukkan bahawa ia tidak mahu meneruskan pendakwaan kes,” katanya.

Ramnkarpal berkata, kenyataan SPRM bahawa ia terkejut menunjukkan bahawa Masri tidak menyedari keputusan Peguam Negara untuk menarik balik tuduhan berkenaan.

“Amat malang, jika SPRM gagal memahami elemen ini,” katanya.

Berita Harian X