Selasa, 4 September 2018 | 4:32pm
TOMMY Thomas
TOMMY Thomas

Kes Guan Eng, Li Koon tak diteruskan kerana bukti lemah

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan pendakwaan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian lot tanah dan banglo, selepas mendapati bukti dikemukakan di mahkamah adalah lemah.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, berkata beliau membuat kesimpulan itu selepas meneliti keterangan melalui siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan saksi pendakwaan di mahkamah serta ketika disoal balas peguam bela.

Beliau berkata, terdapat bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini dalam kes berkenaan.

"Saya membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan, keterangan menyokong tuduhan pertama mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan tuduhan kedua mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dilemahkan secara substantif.

"Kesimpulan ini dicapai berdasarkan keterangan baharu yang timbul ketika pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan.

"Selepas membuat kesimpulan itu, saya berpandangan bahawa saya mungkin tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan selepas mengetahui kes itu tidak akan berjaya di akhir kes pendakwaan.

"Maka dengan itu saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan 'nolle prosequi' (tidak meneruskan pendakwaan) melalui tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah (KAJ)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hanafiah berkata, keputusan tidak meneruskan pendakwaan dibuat tanpa sebarang pembabitan Peguam Negara, Tommy Thomas, sebaliknya beliau diberi tanggungjawab memutuskan representasi dikemukakan kedua-dua tertuduh pada 6 Julai lalu melalui pendekatan 'fresh eye' oleh jabatan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya itu berkata, ia berikutan beliau tidak pernah terbabit dengan kes berkenaan sekali gus dipercayai akan dapat memberikan pertimbangan daripada perspektif baharu.

Katanya, beliau memaklumkan keputusan itu kepada Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM, Datuk Masri Mohd Daud yang juga Timbalan Pendakwa Raya dalam kes rasuah itu ketika beliau (Mohd Masri) berada di Pulau Pinang pada jam 7.18 pagi kelmarin.

"Adalah perlu ditegaskan bahawa keputusan untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan adalah kuasa dan budi bicara Pendakwa Raya, ...dalam kes ini saya merahsiakan keputusan saya hingga ke saat akhir dan tidak merujuk kepada agensi penyiasatan kerana bimbang ia akan dibocorkan dan menyebabkan gangguan tidak diingini.

"Bahkan keputusan saya ini adalah terlalu sulit dan saya sendiri hanya memaklumkan kepada Peguam Negara pada jam 9.44 pagi semalam.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya membuat keputusan tanpa pengaruh luar... malah ada firma guaman yang mewakili pengadu menghantar surat membantah cadangan untuk menggugurkan tuduhan itu," katanya.

Mohamad Hanafiah berkata, beliau bagaimanapun menjawab surat itu dengan menyatakan keputusan dibuat berdasarkan bukti sedia ada berlandaskan undang-undang tanpa sebarang pilih kasih.

Beliau berkata, walaupun pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk satu perintah pelepasan tanpa pembebasan, mahkamah bagaimanapun memutuskan supaya kedua-dua tertuduh diberi pembebasan penuh.

Timbalan Pendakwa Raya itu menjelaskan, keputusan mahkamah itu dibuat berdasarkan permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 254(3) KAJ.

Mohamad Hanafiah turut menegaskan, keputusan untuk nolle prosequi bukan sesuatu amalan yang luar biasa dan ia diamalkan dalam kes lain apabila menerima representasi daripada peguam dan selepas menemui keterangan baharu atau apabila keterangan menjadi lemah selepas diperiksa balas oleh pembelaan.

Pada prosiding semalam di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepas dan membebaskan Guan Eng dan Li Koon selepas bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa tuduhan itu tidak boleh dibiarkan tergantung begitu sahaja ke atas kedua-dua tertuduh selama-lamanya.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada 26 Mac lalu dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan, bagaimanapun ia ditangguhkan sementara untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Prosiding kemudian ditangguhkan lagi dan kedua-dua tertuduh membuat permohonan berasingan untuk menggugurkan tuduhan.

Berita Harian X