Selasa, 4 September 2018 | 10:19pm

Seni ukuran ketinggian tamadun negara - PM

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa melihat pameran pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-60 Balai Seni Negara. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata seni budaya menjadi ukuran ketinggian sesebuah tamadun negara.

Menurut Perdana Menteri, tidak ada negara yang boleh mengatakan mereka sudah bertamadun tanpa adanya seni budaya yang tersendiri.

“Sebab itu walaupun kita berhasrat untuk mencapai Wawasan 2020, berpendapatan sehingga beribu-ribu dolar tetapi tanpa seni tersendiri kita tidak boleh mendakwa kita sudah bertamadun.

“Bangsa yang tidak menghargai seni dan kecantikan alam sekeliling sebenarnya belum sampai ke tahap mempunyai tamadun yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Balai Seni Negara, di sini malam ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, seni adalah satu cara bagi memperlihatkan kecantikan alam sekeliling.

“Ahli seni lebih cekap melihat kecantikan dan merekalah yang melukis dan menunjukkan kecantikan alam sekeliling supaya kita menghargainya.

“Inilah kebaikan dan sumbangan ahli seni kepada masyarakat dan di Malaysia kita bertuah kerana mempunyai penduduk berbilang kaum dengan kesenian mereka tersendiri,” katanya.

Sementara itu Mohamaddin berkata, sebagai antara lokasi tarikan pelancong, Balai Seni Negara dikunjungi lebih 737,000 pelawat dari dalam dan luar negara sejak 2015 hingga Jun lalu.

“Hasil jualan karya pula mencecah lebih RM38 juta dalam tempoh yang sama,” katanya.

Idea penubuhan Balai Seni Negara bermula pada 1954 hingga 1956 oleh Majlis Kesenian Persekutuan (Malay Art Council) yang diketuai oleh Mubin Sheppard dan Frank Suvillian.

Pada 27 Ogos 1958, Balai Seni Negara secara rasmi ditubuhkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Frank Suvillian dilantik sebagai pentadbir Pertama Balai Seni Negara.

Awal penubuhannya Balai Seni Negara ditempatkan di bangunan bersebelahan bangunan Parlimen Tanah Melayu Pertama iaitu 109, Jalan Ampang.

Ordinan untuk menubuhkan Balai Seni Negara diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 1959 di bawah 516: Akta Balai Seni Lukis Negara 1959.

Berita Harian X