Rabu, 5 September 2018 | 9:09pm
DATUK Baljit Singh. - Foto NSTP
DATUK Baljit Singh. - Foto NSTP

Pembabitan Tommy dalam kes Guan Eng dipersoal

KUALA LUMPUR: Ketua Biro Perundangan dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Datuk Baljit Singh mempersoalkan pembabitan Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung keputusan kes pertuduhan rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Beliau berkata, mengapakah keputusan untuk mengemukakan rayuan terletak di tangan Tommy semata-mata sedangkan beliau sudah menarik diri daripada semua perbincangan berhubung kes terbabit seperti yang diumumkan oleh Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

“Kita ingin tahu, adakah beliau (Tommy) terbabit dalam kes ini atau tidak?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kenyataan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud yang menyatakan keputusan untuk memfailkan rayuan terserah kepada Tommy seperti yang dilaporkan muka depan New Straits Times, hari ini.

Memetik kenyataan Masri, beliau berkata adalah menjadi kuasa mutlak Thomas bagi memutuskan sama ada untuk meneruskan rayuan walaupun terdapat pelbagai pandangan berhubung kes terbabit.

Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Li Koon, selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Ia berikutan permohonan Masri, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Guan Eng diwakili peguam Ramkarpal Singh, manakala peguam Datuk V Sithambaram bertindak bagi pihak Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, dalam keputusannya, bersetuju dengan peguam bela bahawa tuduhan itu tidak boleh dibiarkan tergantung begitu sahaja ke atas kedua-dua tertuduh.

Sementara itu, Baljit turut mempersoalkan ‘bukti baharu’ hasil daripada pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan.

“Apakah bukti baharu itu dan mengapa ia tidak diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan kerana mereka sudah menyiasat kes terbabit sejak awal lagi?

“Sebaliknya, SPRM sendiri terkejut dengan keputusan terbabit dan jelas, ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Selasa lalu, Mohamad Hanafiah membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong tuduhan pertama mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan tuduhan kedua mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dilemahkan secara substantif.

Beliau memutuskan untuk mengemukakan 'nolle prosequi' (memberhentikan pendakwaan) terhadap kedua-duanya, Guan Eng dan Li Koon, mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah (CPC).

Berita Harian X