Khamis, 6 September 2018 | 12:13pm

Maszlee perlu pastikan kebebasan akademik - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu, Dr Maszlee Malik perlu memastikan kebebasan akademik serta hak untuk bersuara secara terbuka di universiti itu, tertegak pada setiap masa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang turut melontarkan peringatan sama kepada pimpinan tertinggi semua universiti berkata, kebebasan akademik dan hak bersuara adalah mustahak dalam menggerakkan visi Malaysia baharu.

Alumni UIAM itu berkata, Maszlee yang juga Menteri Pendidikan, serta semua pimpinan universiti, perlu memastikan tindakan disiplin terhadap mahasiswa dan pensyarah semata-mata kerana perbezaan politik, dihentikan serta tidak berulang.

"Dr Maszlee atau sesiapa pun yang memegang tampuk pemerintahan universiti, sama ada eksekutif atau bukan eksekutif, kena pastikan kebebasan akademik dan hak untuk bersuara secara terbuka dipelihara.

"Itu perkara paling mustahak. Sama ada Naib Canselor sesuatu universiti itu pro kepada UMNO pun tak kisah (untuk bersuara dan berbeza pandangan).

"Selepas ini tidak boleh sudut pidato disekat dan hanya beberapa individu atau topik tertentu saja boleh dibicarakan.

"Atau ada mahasiswa yang mungkin aktif politik diambil tindakan serta pensyarah dikeluarkan atau ditukar ke universiti lain kerana berbeza pandangan politik. Ini semua perlu berhenti," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiarkan secara langsung di TV3 di Sri Pentas, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Television Networks, Johan Ishak dan CEO Media Prima Radio Networks, Seelan Paul.

Semalam, UIAM mengumumkan pelantikan Maszlee sebagai Presiden ketujuh universiti itu, sekali gus mencetuskan polemik berikutan kedudukan sebagai Menteri Pendidikan, mencetuskan konflik kepentingan.

Pelantikan yang mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Perlembagaan UIAM itu, mendapat bantahan beberapa pihak, antaranya Ketua Sayap Muda Sosialis DAP (DAPSY) Bahagian Petaling Jaya Utara, Lim Yi Wei dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengenai pelantikan Setiausaha Politik Maszlee, Mohd Nizam Morad yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Syed Saddiq memberi jaminan tidak akan membenarkan mana-mana pegawainya dilantik dalam agensi kementeriannya.

"Saya kena tanya dia (lantikan Mohd Nizam), memandangkan Maszlee adalah rakan dalam Kabinet. Kena tanya dulu.

"Tapi yang saya boleh beri jaminan adalah perkara dalam kawalan saya, contoh dalam Kementerian Belia dan Sukan, tak ada pegawai saya dalam mana-mana lembaga pengarah (agensi) walaupun boleh saja jika nak buat demikian.

"Saya juga tidak letakkan mana-mana Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu (BERRSATU) atau pimpinan tertinggi parti dalam lembaga pengarah," katanya.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) itu berkata, prinsip yang ditegakkan dalam kementerian itu adalah untuk memilih mereka yang terbaik untk mengisi jawatan, bukan kerana parti.

"Walaupun ada kritikan daripada dalam parti mengenai isu itu, tapi ini perkara amat mustahak untuk mencipta budaya politik baharu yang lebih matang dan positif," katanya.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman ketika siaran langsung Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X