Khamis, 6 September 2018 | 5:56pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (empat dari kanan) mengadakan lawatan kerja di Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (empat dari kanan) mengadakan lawatan kerja di Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam

KTM tambah kapasiti tren ETS

BUTTERWORTH: Sembilan unit tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang ditambah Keretapi Tanah Melayu (KTM) hujung tahun lalu bakal beroperasi menjelang Disember ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sembilan unit itu akan menyertai 15 lagi set yang sedia ada dan menjadikan jumlah keseluruhan 24 set tren ETS bakal beroperasi di sepanjang laluan yang sedia ada sekarang.

Beliau berkata, jumlah tren itu dianggap dapat memberikan keselesaan kepada pengguna yang menjadikan ETS sebagai medium pengangkutan popular buat masa kini.

"Kita tahu ETS mendapat permintaan tinggi pengguna di semua laluan dari selatan sehingga utara dan penambahan set ini akan melihat ramai pengguna dapat menggunakan ETS.

"Perkhidmatan ini sememangnya popular di kalangan pengguna yang menjadikan ETS sebagai medium pengangkutan dari Kuala Lumpur ke Butterworth, Ipoh dan Padang Besar," katanya selepas mengadakan lawatan ke Penang Sentral di sini, petang tadi.

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook membeli tiket bas menggunakan mesin layan diri ketika mengadakan lawatan kerja di Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook membeli tiket bas menggunakan mesin layan diri ketika mengadakan lawatan kerja di Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam

Menurutnya, laluan trek berkembar arah selatan dari Gemas ke Johor Bahru masih belum siap sepenuhnya manakala laluan dari Gemas ke utara sudah digunakan dan jajarannya sudah siap sepenuhnya.

Beliau berkata, pihaknya memang mahu menambah kapasiti tren KTM terutamanya selepas ia mendapat permintaan tinggi daripada pengguna.

Sejajar dengan kemudahan Penang Sentral yang akan beroperasi sebelum Disember ini, penambahan kemudahan ETS itu akan memenuhi keperluan pengguna perkhidmatan kenderaan awam.

Selain itu, pada sidang medianya beliau memberitahu sudah membuat keputusan berkenaan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura semalam.

"Kami ada membuat keputusan berkenaan HSR semalam, dan kini masih menumpukan dengan projek ETS dan kita akan membuat pengumuman berkenaan HSR kelak," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X