Jumaat, 7 September 2018 | 2:58pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif TH dan Pengurusan TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani bersalam dengan sebahagian daripada 442 jemaah haji kumpulan pertama Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kendali 20,000 jemaah haji setiap 10 minit

SEPANG: Pengalaman mengendalikan kira-kira 20,000 jemaah haji dalam setiap 10 minit operasi Al Mashaaer Al Mugaddasah Makkah Metro (Makkah Metro) antara cabaran dihadapi 33 kakitangan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-MAS).

Ketua Kumpulan kakitangan ERL dan E-MAS bagi operasi Makkah Metro, Sanusi Harun, berkata Makkah Metro adalah laluan rel sepanjang 18 kilometer yang menghubungkan Arafah, Mudzdalifah serta Mina dan ia hanya beroperasi tujuh hari setahun untuk mengangkut jemaah haji ketika kemuncak musim haji.

“Dalam tempoh itu, Makkah Metro beroperasi 24 jam sehari dengan anggaran seramai 370,000 jemaah haji dikendalikan dalam setiap lima jam. Kelewatan walau hanya seminit boleh menyebabkan semua operasi tergendala kerana akan berlaku kesesakan jemaah ketika waktu puncak haji.

“Tempoh tujuh hari itu adalah waktu yang sangat kritikal dan kerjasama serta disiplin daripada semua kru amat diperlukan bagi memastikan operasi berjalan lancar. Alhamdulillah, sepanjang operasi tiada kelewatan berlaku.

“Walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi tapi kami sebagai petugas sangat bersyukur kerana terpilih dalam operasi yang membantu memudahkan pergerakan tetamu Allah ketika musim haji,” katanya yang sudah empat kali terbabit dalam operasi Makkah Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Jeddah, Arab Saudi, hari ini.

Ketibaan 33 kakitangan ERL dan E-MAS itu disambut Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor.

Mereka adalah antara lebih 5,000 individu yang berkhidmat dengan China Railway Construction Corporation Limited (CCRC) iaitu syarikat operasi laluan rel yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengendalikan operasi laluan Makkah Metro pada tahun ini.

Sementara itu, Alias Abdul Majid, 38, berkata pengalaman kali pertama terbabit dalam operasi itu adalah sangat berharga.

“Sewaktu terpilih antara kakitangan yang akan terbabit dalam operasi itu, saya rasa sangat bersyukur. Sebelum operasi ini, kakitangan akan diberikan latihan sebulan iaitu seminggu di Malaysia dan selebihnya di Makkah.

“Walaupun di ERL saya berkhidmat sebagai Eksekutif Akaun, tetapi di sana saya berperanan sebagai Ejen Bilik Kawalan Stesen untuk operasi Makkah Metro. Satu pengalaman baharu dan amat berharga,” katanya.

Dalam pada itu, Noormah berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menghantar kakitangan bagi menyokong operasi Makkah Metro sempena musim ibadat haji pada tahun akan datang.

“Ini adalah tahun ketujuh syarikat ini menyediakan sokongan operasi kepada Makkah Metro dan pada tahun ini kita bekerjasama dengan CCRC.

“CCRC memerlukan lebih 5,000 individu bagi melaksanakan operasi keseluruhan kereta api ketika musim haji dengan skop tugas membabitkan pengurusan stesen, operasi kawasan menunggu dan platform, pusat kawalan operasi dan pemandu kereta api,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X