Jumaat, 7 September 2018 | 3:03pm
PETUGAS SPR melakukan Semakan Isi Peti Undi ketika Serahan Peralatan kepada petugas pilihan raya PRK N.32 Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SPR tambah petugas lancarkan proses pengundian

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah bilangan petugas pilihan raya di kesemua 16 pusat mengundi bagi memastikan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong esok.

Timbalan pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood, berkata penambahan jumlah petugas itu bertujuan mempercepatkan kerja pemprosesan Borang 13 dan 14 (borang kiraan dan penjumlahan undi).

“Kita menambah jumlah petugas untuk memperbaiki proses mengundi berdasarkan pengalaman di PRK Sungai Kandis yang lalu dan semoga proses mengundi esok lebih lancar.

“Justeru, kita juga berharap akan mendapat keputusan PRK ini seawal jam 9 malam dan selewat-lewatnya jam 10 malam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses semakan isi peti undi dan serahan peralatan kepada petugas pilihan raya di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Menurut Othman, seramai 903 petugas pilihan raya terbabit dalam PRK DUN Seri Setia dan 1,001 petugas terbabit dalam PRK DUN Balakong.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung salah laku sepanjang 21 hari tempoh berkempen dan berpendapat perjalanan kempen berjalan lancar di kedua-dua kawasan.

Othman juga berkata, semua pihak termasuk calon dan penyokong masing-masing memberi kerjasama yang baik kepada SPR dan pihak berkuasa.

“Kerjasama daripada semua pihak membantu sesi berkempen berjalan dengan aman dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Kita ada melihat rungutan di media sosial yang mendakwa ada pihak tidak jujur ketika berkempen, tetapi setakat itu sahaja. Kita bagaimanapun akan sentiasa membuat pemantauan,” tambah beliau.

PRK Balakong dan PRK Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon PH Wong Siew Ki berdepan calon MCA Tan Chee Teong di Balakong manakala calon PH Halimey Abu Bakar menentang calon PAS Dr Halimah Ali di PRK Seri Setia.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu, manakala PRK DUN Seri Setia diadakan susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus. – BERNAMA

Berita Harian X